Guardiola fokus aksi suku akhir Piala FA

Guardiola termenung memikirkan masa depannya di Eitihad - Foto Gettyimages
Guardiola termenung memikirkan masa depannya di Eitihad - Foto Gettyimages
A
A
A

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola enggan mengesahkan masa depannya di Etihad setelah skuad kendaliannya itu 'kehilangan' takhta Liga Perdana Inggeris (EPL), sebaliknya mahu memberikan tumpuan bagi mengharungi saingan Piala FA Inggeris apabila dijadualkan berdepan Newcastle United di St Jame's Park, malam ini.

Menurut Guardiola, dia tidak mahu memikirkan perkara berkenaan biarpun mengakui gembira berkhidmat bersama City.

"Saya gembira ketika ini dan berpuas hati untuk berada bersama City dan cuba melakukan yang terbaik; tetapi saya tidak fikir terlalu jauh mengenai masa depan saya; bukan masanya dan saya hanya fikirkan mengenai hari ini.

"Apa yang saya mahukan adalah semua pemain dapat pulih kerana dalam tempoh 15 hingga 20 minit sebelum ini kita beraksi bermati-matian berdepan Chelsea.

"Malam ini, kita akan harungi satu lagi perlawanan yang sukar berdepan dengan Newcastle di gelanggang mereka dan inilah perkara yang saya mahu fokuskan," katanya.

Untuk rekod, City gagal mempertahankan status City selaku juara bertahan EPL apabila tewas 1-2 kepada Chelsea Khamis lalu yang sekali gus menyaksikan Liverpool dinobatkan selaku juara baharu biarpun masih berbaki tujuh perlawanan untuk diharungi musim ini.

Di sebalik kegagalan berkenaan, City masih boleh berbangga apabila muncul juara Piala Liga musim ini selain layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah dan sedang mendahului 2-1 dari segi agregat bagi menjelang pertemuan kedua dengan gergasi La Liga, Real Madrid.

Bagaimanapun, skuad The Citizens itu turut berdepan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berhubung isu Financial Fair Play.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan isu berkenaan juga difahamkan timbul khabar angin yang mengatakan pemain bintang seperti Kevin De Bryune termasuk Guardiola sendiri dikatakan berhasrat meninggalkan kelab berkenaan.

Sementara itu, Guardiola mengakui berdepan dilema apabila John Stones dan Fernandinho hampir pasti tidak dapat diturunkan apabila skuad The Citizens itu berdepan Magpies malam ini.

"Dia (Stones) masih cedera manakala Fernandinho juga tidak dapat diturunkan. Kami tahu kami kurang bersedia untuk perlawanan ini kerana mengharungi banyak perlawanan dalam masa yang singkat.

"Kami perlu bertahan dan mencuba yang terbaik malam ini, selain mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara nanti," katanya.