X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO Perlis dekati pengundi DUN Chini

Datuk Seri Shahidan Kasim
Datuk Seri Shahidan Kasim
A
A

PEKAN - UMNO Perlis menggerakkan jentera parti bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, gerak kerja jentera parti berjalan lancar dengan pendekatan berbeza yang berlangsung dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP).

Menurutnya, gerak kerja mereka pada kempen PRK ini lebih tertumpu kepada kempen dari rumah ke rumah.

"Sasaran kita adalah 140 pengundi dari Perlis yang bermastautin di sini.

"Selain itu, sasaran kita adalah pengundi yang rumahnya agak jauh dari bilik gerakan dan mungkin tidak dapat hadir ke program ceramah yang diadakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini petang semalam.

Menurutnya, jika pada PRK sebelum ini, beliau menggerakkan lebih ramai jentera untuk membantu namun kali ini bilangannya agak terhad kira-kira 30 orang dan akan ditambah secara berperingkat.

Sementara itu, Shahidan menyifatkan PRK Chini ini agak unik kerana tiada parti lain bertanding kecuali BN.

"Saya percaya calon Bebas yang dibayangi pemimpin pembangkang tertentu ini mungkin boleh hilang wang pertaruhan kerana tidak mendapat sokongan pihak berkenaan sepanjang tempoh kempen ini.

"Mereka tidak berani bertanding sebagai calon parti sebaliknya menyandarkan calon Bebas. Pada saya ia memalukan kerana mereka sepatutnya bertanding sebagai anak jantan," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak memandang mudah perkara itu sebaliknya terus menggerakkan jentera dengan jadual gerak kerja seperti biasa.

"Yang penting kita hendak lihat suasana hari pengundian 4 Julai nanti kerana 'trend' PRK Chini ini mungkin akan digunapakai pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) sekiranya berlaku dalam suasana wabak koronavirus (Covid-19) masih berlaku.

"Di Chini ini suasananya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan beberapa garis panduan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, jika PRU diadakan ia perlu dipastikan berjalan dalam keadaan selamat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!