Kilang kertas di Paloh Hinai sedia 3,000 peluang pekerjaan

Najib bersama Wan Rosdy ketika lawatan ke kilang kertas, Next Green Pulp and Paper Sdn Bhd di Paloh Hinai di sini baru-baru ini.
Najib bersama Wan Rosdy ketika lawatan ke kilang kertas, Next Green Pulp and Paper Sdn Bhd di Paloh Hinai di sini baru-baru ini.
A
A
A

PEKAN - Kilang kertas, NextGreen Pulp and Paper Sdn Bhd di Paloh Hinai di sini bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan terutama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Kilang milik syarikat tersenarai di Bursa Malaysia NextGreen Global Bhd (NGGB) itu dibina dalam kawasan DUN Chini dengan kos RM80 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Urusan NGGB, Datuk Lim Thiam Huat berkata, fasa satu kini dalam peringkat akhir pembinaan dan dijangka siap pada suku terakhir 2020 dengan 250 peluang pekerjaan ditawarkan.

Menurutnya, NGGB juga merupakan pemaju Taman Teknologi Hijau (GTP) di kawasan seluas 166 hektar di Paloh Hinai, bersebelahan Lebuhraya Tun Razak Kuantan-Segamat.

"Nilai pelaburan di GTP RM2 bilion dan akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Thiam Huat berkata, kilang NextGreen Pulp and Paper Sdn Bhd menganjurkan ‘teknologi hijau’ dalam usaha menghasilkan kertas menggunakan tandan kosong kelapa sawit yang boleh diperoleh secara mudah dari kilang-kilang kelapa sawit di daerah Pekan termasuk Chini.

“Kilang ini yang pertama di dunia menghasilkan teknologi ‘Preconditioning Refiner Chemical-Recycle Bleached Mechanised Pulp (PRC-RBMP)’ yang memproses tandan kosong buah kelapa sawit (EFB) bagi menghasilkan bahan-bahan pulpa dan kertas untuk tujuan percetakan, kertas tisu dan pembungkusan.

“Teknologi PRC-RBMP ini memungkinkan ketidakbergantungan kepada kayu atau pokok untuk mengeluarkan kertas maka boleh menyelamatkan sehingga 255 juta pokok setahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, teknologi PRC-RBMP itu juga telah dipatenkan di Malaysia, Thailand, Indonesia dan China.

Katanya, prospek kejayaan dan masa depan kilang kertas itu cukup besar memandangkan industri pulpa dan kertas dunia dianggarkan bernilai AS$500 bilion setahun atau RM2.146 trilion.

"Ketika ini, industri pulpa dan kertas dunia masih dikuasai oleh kilang-kilang dan pengeluar pulpa dan kertas berasaskan kayu boleh memudaratkan alam sekitar," katanya.

Pada 19 Jun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan lawatan ke kilang berkenaan.

Pada lawatan itu, kedua-duanya turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kilang tersebut dengan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Selain itu, kilang tersebut turut mengambil inisiatif memperkenalkan program perantis dan latihan industri dengan kerjasama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang terletak berdekatan.