Kompaun RM39,650 berkaitan tanda harga

Nazri (kiri) melawat tapak pasar tani kekal kendalian FAMA di Bandar Dara hari ini.
Nazri (kiri) melawat tapak pasar tani kekal kendalian FAMA di Bandar Dara hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan kompaun berjumlah RM39,650 bagi kesalahan penandaan harga dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, jumlah kompaun itu membabitkan 109 peniaga yang gagal mematuhi peraturan itu.

Menurutnya, dua daerah tertinggi merekodkan kesalahan berkenaan ialah daerah Kuantan dan Temerloh membabitkan perniagaan kedai runcit dan kedai buah-buahan di tepi jalan.

"Setakat dua hari lalu KPDNHEP sudah mengeluarkan kompaun lebih RM39,000.

"Peniaga digesa mematuhi undang-undang melibatkan penandaan harga sekaligus menzahirkan perdagangan dalam yang beretika dan adil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke tapak pasar tani kekal kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) di Bandar Dara hari ini.

Hadir sama, Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali.

Nazri berkata, pegawai penguatkuasaan dan pemantauan harga akan terus digerakkan untuk memantau penandaan dan perubahan harga di pasaran seluruh negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai laporan kenaikan harga barangan keperluan asas di Pahang, Nazri berkata, setakat ini KPDNHEP negeri menerima 637 laporan dan semua laporan itu sudah diambil tindakan penguatkuasaan oleh pegawai dan anggota KPDNHEP.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua peniaga di Pahang terutamanya yang berniaga di pasar tani supaya mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian penyebaran koronavirus (Covid-19).