X

Kindly register in order to view this article
!

Menepis momokan ‘DBP ini harimau kertas’

Temu bual Sinar Harian bersama Awang Sariyan. -Foto Sinar Harian
A
A

PELANTIKAN Profesor Datuk Dr Awang Sariyan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika badan berkanun itu menyambut ulang tahun ke-64 penubuhannya Isnin lalu disifatkan sebagai sirih pulang ke gagang.

Begitupun, tugas untuk mengembalikan kegemilangan DBP dan bahasa Melayu bukanlah mudah. Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, tokoh pejuang bahasa itu bercakap mengenai pelbagai isu bahasa termasuk tentang pentingnya kerajaan yang memerintah, tidak kira daripada parti mana, akur kepada dasar-dasar bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan. Beliau juga bercakap tentang cara untuk mengangkat nilai komersial bahasa Melayu dan cabaran-cabarannya.

Ikuti wawancara Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh dan wartawan Sinar Ahad, Mohd Ridzuan Abu Hassan bersama beliau di Menara DBP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR AHAD: Apakah reaksi Datuk sebaik sahaja mendapat berita mengenai pelantikan kali kedua menerajui DBP?

AWANG SARIYAN: Sebenarnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP saya tidak menerajui semula DBP sebagai eksekutif, seperti jawatan saya di DBP sebagai Ketua Pengarah selama empat tahun dahulu. Saya lebih diberi peranan untuk memastikan dasar dan Akta DBP dipenuhi. Tentulah pelantikan itu saya syukuri dengan pengertian untuk membantu DBP meneruskan usaha mengangkat bahasa, sastera dan ilmu dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu ke mercu yang lebih bermaruah.

Bagaimana Datuk melihat kedudukan bahasa Melayu di Malaysia selepas 63 tahun merdeka?

Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, mengalami pasang surut. Ada ketikanya perkembangannya cukup meyakinkan. Sebagai contoh, apabila Allahyarham Tun Patinggi Abdul Rahman Ya’kub menjadi Menteri Pendidikan walaupun hanya setahun pada 1969, tetapi beliau melakukan satu perubahan yang drastik dan sangat berkesan, iaitu peralihan sekolah aliran bahasa Inggeris kepada sekolah kebangsaan. Itu satu kejayaan luar biasa kerana meningkatkan maruah bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Alhamdulillah, saya kira dalam tempoh 20 tahun, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara terlaksana dengan baik dan satu ketika saya mendapat maklumat bahawa pada tahun 2000, tidak kurang 5.4 juta dan mungkin 10 juta lepasan sekolah kebangsaan yang terhasil daripada pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu. Mereka itulah yang menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam semua bidang, pendidikan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya. Bahkan untuk peringkat pengajian tinggi kerajaan menetapkan bahawa 1983 ialah tahun permulaan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di universiti.

Alhamdulillah, 13 tahun lebih awal, UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) telah membuktikan bahasa Melayu memang mampu menjadi bahasa ilmu tinggi. Rakan-rakan saya kumpulan pertama Fakulti Perubatan UKM, seangkatan dengan saya, iaitu pada tahun 1973 dan mereka berkuliah kebanyakan dalam bahasa Melayu.

Selalu saya berjenaka, belum lagi ada kes atau berita pesakit yang mati kerana dirawat doktor lulusan UKM yang berbahasa Melayu, bahkan sekian banyak doktor pakar yang muncul daripada Fakulti Perubatan UKM.

Tetapi pada 1995 apabila perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan kursus sains dan teknologi dijalankan dalam bahasa Inggeris, satu kegerhanaan telah berlaku. Profesor dan pensyarah disyaratkan mengajar dalam bahasa Inggeris. Akhirnya merosot penulisan akademik dalam bahasa Melayu dan merosot bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Apakah kesan dasar liberal bahasa kebangsaan itu kepada bidang komersial dan perdagangan swasta?

Kita melihat kemantapan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran sudah sampai ke puncak pada saya tetapi apabila berlaku semacam dasar liberal, keadaan berubah. Contohnya pada tahun 1996 hingga tahun 2000, kami bekerjasama rapat dengan pihak swasta untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa penting dalam perniagaan serta perdagangan swasta.

Contohnya, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) sudah bersetuju untuk membuat papan tanda dengan mengutamakan bahasa kebangsaan tetapi apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan, kami berjumpa sekali lagi dan bertanya kenapa tidak dibuat, kata mereka, kerajaan juga sudah bertukar kepada bahasa Inggeris, jadi untuk apa pihak swasta sibuk mengeluarkan belanja untuk mengubah label dalam bahasa Melayu.

Itu kesan apabila dasar bahasa kebangsaan itu dikurangkan. Swasta pun tidak berminat dan dalam sebahagian institusi kerajaan pun, mesyuarat masih banyak dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya kepemimpinan negara dan penjawat awam patut berasas pada ketetapan Perlembagaan Persekutuan dalam hal penggunaan bahasa kebangsaan. Dalam Perkara 152 Perlembagaan disebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang wajib digunakan di tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Jadi penjawat awam perlu berpegang kepada Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu dasar negara.

Pada hemah saya, parti yang mana pun menjadi tonggak pemerintah mestilah tunduk akur kepada dasar-dasar negara yang sudah dicatat dalam Perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, Akta DBP dan peraturan yang lain. Jadi penjawat awam patut memberikan nasihat kepada kerajaan supaya dasar-dasar itu dilaksanakan atas kepentingan negara seperti bahasa untuk perpaduan dan jati diri rakyat Malaysia.

Bahasa rasmi pula falsafahnya adalah untuk menimbulkan kecekapan dalam pentadbiran negara. Bayangkan jika semua bahasa boleh digunakan dalam pentadbiran, kita terpaksa menterjemahkannya kerana tidak semua dapat faham, maka jentera pentadbiran negara akan terjejas kecekapannya.

Saya katakan penjawat awam seperti naib canselor, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), ketua pengarah dan sebagainya bertanggungjawab melaksanakan dasar negara, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan.

Datuk baru-baru ini menyarankan agar DBP diberi kuasa untuk menjadi penguat kuasa bahasa Melayu. Bagaimanakah perkara itu boleh dilakukan dan apakah mekanismenya?

Wibawa DBP pada satu saat dulu barangkali tidak banyak bergantung kepada kuasa undang-undang. Pada satu saat semangat kebangsaan, kesetiaan pada negara dan patriotisme masih tinggi. Contohnya, pada zaman Tun Syed Nasir Syed Ismail (Pengarah DBP), tidak perlu ada undang-undang begitu. Waktu itu semangat membara sehingga pejuang bahasa mengusung Keranda 152 ke Parlimen tetapi sekarang kita dapati semangat itu kian luntur.

Jadi apabila DBP hanya diberi kuasa menggalakkan, menegur dan menasihati seperti okjektif kelima Akta DBP, dengan ini DBP hanya menjadi satu badan dakwah bahasa. Teguran dan nasihat diberikan agar bahasa digunakan dengan betul dalam majlis rasmi serta pemantauan dibuat tentang penggunaan bahasa di media. Seperti jabatan agama, dakwah satu hal tapi penguatkuasaan pun penting.

Apabila orang tidak faham tentang keterhadan kuasa DBP, maka orang mengatakan DBP ini ‘harimau kertas’, tidak ada gigi kerana tidak boleh bertindak. Masyarakat yang tidak faham beranggapan bahawa DBP patut meruntuhkan papan iklan dan peragaan lain yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan atau yang salah bahasanya. Itu tidak mungkin kerana dari segi undang-undang itu menyalahi peraturan negara. Yang boleh meruntuhkan atau mengambil tindakan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Di Kuala Lumpur, badan penguat kuasa ialah DBKL, di tempat lain majlis daerah, majlis perbandaran dan sebagainya. Ini badan yang diberi wibawa untuk memastikan bahasa kebangsaan itu diberi keutamaan seperti dalam undang-undang kecil pengiklanan, tetapi daripada 150 PBT, menurut analisis DBP, barangkali 10 sahaja yang ada keprihatinan kepada Dasar Bahasa Kebangsaan. Maka itu tempat awam penuh lagi dengan bahasa asing pada nama tempat, bangunan dan jalan. Jadi kecenderungan orang taasub kepada nama-nama hebat dari Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat dengan sesuka hati tanpa ada kelulusan PBT.

Sedangkan menurut undang-undang kecil iklan, sebelum mendapat kelulusan menaikkan iklan, papan tanda, papan arah, nama bangunan dan sebagainya kelulusan DBP diperlukan lebih dahulu. Saya bekerja selama enam tahun di negara China, susah untuk melihat papan tanda dalam bahasa asing. Saya juga pernah jadi profesor tamu di Jerman dan jelas mereka pun tetap mengutamakan bahasa kebangsaan. Di Perancis, di Jepun dan di Korea pun demikian. Yang terdekat, Thailand pun begitu. Itulah saya kira yang perlu kita kaitkan dengan soal sedikit kuasa DBP untuk mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Adakah tindakan tersebut membabitkan hukuman atau denda?

Itu memang masalah teknikal dalam lebih hampir 10 tahun perjuangan untuk mendapatkan kelulusan pindaan Akta DBP. Maka saya kira kita bermula dengan soal yang dasar sahaja, contohnya yang tidak menghormati bahasa kebangsaan perlu dikenakan tindakan. Di Perancis, ada satu undang-undang bahasa kebangsaan yang membolehkan tindakan dikenakan kepada pihak yang tidak mengutamakan bahasa Perancis. Contohnya, sebuah syarikat di Paris yang tidak menggunakan bahasa Perancis dalam paparan laman web didenda sekian ribu euro. Bentuk tindakan boleh dirincikan.

Temu bual Sinar Harian bersama Awang Sariyan. -Foto Sinar Harian
Temu bual Sinar Harian bersama Awang Sariyan. -Foto Sinar Harian

Pada pandangan Datuk, sejauh manakah media sosial merosakkan bahasa Melayu?

Media sosial memang terdapat kesukaran untuk kita mengawalnya. Media sosial milik peribadi seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan Instagram. Tetapi saya melihatnya dari sudut lain. Kita perlu memperbanyakkan media sosial yang dikawal webmaster atau pentadbir yang ada jiwa kebangsaan dan peradaban. Kalau banyak yang begitu, kita dapat mengimbangi yang kurang terkawal ini.

Adakah jika sesebuah kumpulan masyarakat menggunakan bahasa Melayu, ia bermaksud mereka berada dalam kumpulan yang rendah taraf sosioekonominya?

Tanggapan itu wujud barangkali kerana kita belum berjaya mengusahakan kesedaran dan sikap orang meletakkan bahasa Melayu sebagai lambang status dalam sosioekonomi. Pada zaman dahulu, contohnya di Melaka, ada 84 etnik tetapi semua menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan dan perhubungan. Itu disebut sarjana Belanda seperti Valentyn bahawa pada abad ke-16, bahasa Melayu itu bahasa dunia.

Orang dari mana pun datang ke Melaka mesti berbahasa Melayu. Orang yang tidak menguasai bahasa Melayu dianggap golongan yang tidak berpendidikan. Segala surat dan perjanjian dalam bahasa Melayu bertulisan jawi, tetapi apabila penjajah datang, bahasa Melayu diturunkan darjat ke tahap vernakular sama dengan sekolah Cina dan Tamil. Akhirnya bahasa Melayu kehilangan nilai komersial dan taraf sosial. Maka apabila Malaysia merdeka, itulah tugas kita, pemimpin, rakyat dan penjawat awam mengangkat semula darjat bahasa Melayu.

Datuk telah mengembara jauh dalam perjuangan bahasa yang sudah menjadi darah daging, apakah perkara lain yang lebih besar dan lebih penting dalam hidup Datuk?

Saya melihat bahasa ini bukan sekadar bahasa semata-mata. Bahasa ini sebagai jendela yang akan memperkenalkan sesuatu bangsa dan negara serta peradaban. Negara China mempunyai dasar mempelajari bahasa asing yang sangat objektif dan pragmatis. Di tempat saya ditugaskan di Beijing Foreign Studies University, bermula sekitar 60 bahasa asing sewaktu saya sampai pada 2008, pada 2020 sebanyak 120 bahasa asing diperkenalkan.

Saya bertanya kepada Presiden universiti, apa tujuan pihak negara China begitu ghairah untuk menguasai bahasa asing sehingga ratusan bahasa asing diperkenalkan. Katanya, negara kami tidak mahu menjadi seperti Amerika Syarikat untuk menjadi polis dunia, dan menguasai dunia dalam hal kekuasaan. China berminat tentang soal ekonomi. Itu perancangan yang rapi sesudah membuat penyelidikan mendalam mengenai psikologi, sikap dan segala aspek peradaban bangsa asing. Dengan menguasai bahasa asing sekali gus mereka menguasai peradaban, iaitu sastera, budaya, sejarah, undang-undang dan media.

Mereka sebenarnya mengkaji peradaban di balik bahasa asing psikologi dan kesannya selepas 10 tahun, hampir seluruh benua Afrika didominasi oleh kuasa ekonomi China. Begitu juga di Sri Lanka dan Pakistan. Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China menggunakan keupayaan menguasai bahasa asing dan ilmu untuk menjadi kuasa ekonomi besar di dunia. Bermula dengan 70 negara dan sekarang lebih 100 negara yang menyertai inisiatif itu.

Bagi saya, ini contoh jelas supaya negara kita menguasai bahasa asing sebagai jendela menguasai peradaban lain. Ini bersesuaian dengan isyarat dalam surah al-Hujurat, ayat 13, iaitu ‘Allah menjadikan manusia lelaki dan wanita dalam bentuk pelbagai bangsa untuk berkenalan’. Ini termasuk mengenal kekuatan bangsa lain yang dipelajari melalui bahasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!