Lagi kluster baharu di Korea Selatan

Pemakaian pelitup muka telah diwajibkan kepada seluruh penduduk Korea Selatan. - Foto: AFP
Pemakaian pelitup muka telah diwajibkan kepada seluruh penduduk Korea Selatan. - Foto: AFP
A
A
A

SEOUL - Gelombang baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) terus melanda Korea Selatan selepas kemunculan kluster Kelab Malam pada awal Mei lalu dan disusuli di beberapa lokasi lain termasuk pusat logistik, kelab ping pong dan kelab peminat kereta berhampiran Sungai Han serta yang terbaharu di kem gereja.

Seoul hari ini melaporkan 51 kes jangkitan baharu dan 31 daripada adalah kes tempatan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kini mencecah 12,653 kes serta 282 kematian.

Sebanyak 1,284 kes direkodkan di Seoul dan 1,167 kes di wilayah Gyeonggi di sekitar ibu negara selepas kedua-dua lokasi terbabit masing-masing melaporkan 17 kes baharu.

Kebanyakan kes jangkitan baharu dikesan di Seoul walaupun langkah penjarakan sosial telah dilanjutkan selepas negara itu berjaya mendatarkan keluk jangkitan pada Mac lalu.

Ketika ini, pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai supaya tidak makan di restoran dan menyertai acara sosial untuk mengelakkan penularan wabak tersebut.

Pemakaian pelitup muka juga telah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk memandangkan ia diwajibkan dipakai ketika menggunakan pengangkutan awam.

Selain itu, premis berisiko tinggi seperti kelab malam dan panggung wayang menghendaki pengunjung mengimbas kod respons segera (QR) yang mengandungi maklumat peribadi mereka.

Walaupun pelbagai langkah telah diambil, Korea Selatan masih mencatatkan peningkatan kes harian.

Artikel Berkaitan:

Awal minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan memberi amaran Seoul yang mempunyai populasi 50 juta penduduk sudah berdepan gelombang kedua wabak tersebut susulan lonjakan kes jangkitan baharu. - Agensi