X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan pamer kemewahan elak jadi mangsa culik!

Datuk Shahul Hamid Abd Rahim
A
A

SHAH ALAM – Golongan jutawan dan selebriti dinasihat supaya tidak pamerkan kemewahan sekaligus dapat mengelak diri mereka dan keluar menjadi sasaran penculik.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, bagi individu berstatus jutawan atau mereka yang dalam kelompok berada perlu lebih berhati-hati.

“Terutama bagi mereka yang mempunyai kewangan yang kukuh kerana kebanyakan mangsa jenayah penculikan adalah mereka yang berduit atau berada tetapi orang biasa-biasa juga tidak patut memandang enteng perkara ini.

“Satu lagi nasihat saya, kepada selebriti atau jutawan jangan terlalu mendedahkan aset-aset atau kemewahan yang anda miliki kerana ia hanya akan mengundang perhatian mereka yang tidak anda sangka.

"Mungkin bukan anda ‘mangsa’ mereka tetapi anak, ahli keluarga dan mereka yang terdekat menjadi sasaran mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Tujuh suspek ditahan kes culik, bunuh Datuk Seri

Semalam pihak polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh berhubung kes penculikan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang ditemui mati di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya, Rawang, Selangor.

Kesemua suspek termasuk dalang utama berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak jam 11 pagi semalam.

Hasil siasat ke atas salah seorang suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang, Bestari Jaya pada jam 9 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN - Datuk Seri diculik ditemukan mati dalam belukar

Mangsa yang berusia 55 tahun diculik ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu kira-kira jam 10.30 pagi.

Kehilangan pemaju hartanah itu diketahui keluarganya pada waktu tengah hari tarikh yang sama selepas menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM154 juta.

Sementara itu, Shahul Hamid berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat atau individu yang dipercayai jika mahu keluar ke mana-mana walaupun tempat yang ditujui berdekatan dengan kediaman.

Ujarnya, dalam keadaan negara yang masih lagi berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19) dan masalah ekonomi mampu mengundang sesetengah individu untuk melakukan jenayah seperti penculikan.

“Pertamanya dalam keadaan sekarang ini musim Covid-19 dan keadaan ekonomi, macam-macam boleh berlaku dan antara jenayah terancang yang boleh mereka lakukan untuk mendapat kewangan secara cepat adalah menerusi penculikan.

“Penculikan berlaku tanpa disedari mangsa kerana itu saya nasihatkan mangsa supaya sentiasa peka dan berhati-hati apabila bergerak atau berjalan ke satu tempat.

"Pastikan ada bersama ahli keluarga, jangan leka atau cuai sama ada ketika bersendiri atau membawa anak kecil bersama,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!