Perikatan Nasional perlu jauhi Dr Mahathir

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SAYA menulis rencana 'Perikatan Nasional Perlu Jauhi dan Jauhkan Tun Dr. Mahathir' pada bulan Mac 2020. Dalam tempoh tiga bulan selepas itu, satu perkara yang saya tidak bincang kerana saya tidak terfikir ia akan berlaku, telah berlaku.

Perkara itu ialah penyingkiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan empat orang penyokong kuatnya, termasuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz, daripada keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). (Satu perkara lagi yang telah berlaku ialah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah pimpinan Mukhriz tumbang.)

Akibatnya, Dr. Mahathir sudah tidak ada parti. Maka pergilah beliau kepada PH untuk diterima semula. Maka berlakulah apa yang disebut sebagai PH Plus, sebenarnya PH+5 individu yang terdiri daripada Dr. Mahathir dan emat orang penyokongnya itu.

Maka bermesyuaratlah PH+5 hari demi hari untuk mendapat persetujuan siapa akan menjadi Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam bulan

Kononnya, pada mulanya Anwar tidak hadir. Mengikut cerita yang tersiar, Dr Mahathir mahu menjadi PM sekali lagi sehingga hujung tahun 2020.

Selepas itu, beliau akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar. Mengikut cerita, Anwar tidak bersetuju kerana beliau tidak mahu ditipu bagi kali ketiga.

Tidak sabar untuk mengambil alih kerajaan, Dr. Mahathir pun memukul gendang perang bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang pada bila-bila masa. Tetapi, tanpa persetujuan Anwar untuk Dr Mahathir menjadi PM, dan tanpa sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat PKR, tidak mungkin PH Plus akan dapat mengumpul majoriti bilangan ahli Dewan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan PN.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, menurut cerita, DAP, Amanah dan Warisan mahukan Dr. Mahathir menjadi PM sedangkan PKR mahukan Anwar menjadi PM. Maka bergaduhlah sesama mereka dan selama itu kekallah kerajaan PN.

Dua perkara patut disebut di sini. Pertama, mengapa Dr Mahathir mahu sangat menjadi menjadi PM bagi kali ketiga, walaupun selama enam bulan?

Adakah beliau ingin menjadi juara dunia seperti Muhammad Ali yang menjadi juara dunia tinju sebanyak tiga kali?

Adakah beliau mahu mencatat rekod sebagai orang pertama dan satu-satunya yang menjadi PM sebanyak tiga kali? (Kalau setakat dua kali, Sir Winston Churchil telah mendahuluinya kira-kira tujuh dekad lebih awal, tidak kira apa yang dilakukan oleh Napoleon Bonaparte pada awal abad ke-19).

Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama

Jika demikian, beliau tidak perlu menjadi PM bagi kali ketiga selama enam bulan.

Enam hari pun cukup. Lagi pula, apa yang hendak dibuatnya dalam tempoh enam bulan? Dalam tempoh 22 bulan pun beliau tidak sempat berbuat apa-apa untuk negara.

Satu kemungkinan ialah beliau hendak membalas dendam terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana 'merampas' jawatan PM daripada beliau. Tetapi, Muhyiddin bukan merampas jawatan itu daripada beliau. Beliau sendiri yang meletak jawatan. Jawatan itu telah beliau sendiri kosongkan. Jika beliau mahu terus menjadi PM, mengapa meletak jawatan? Sekutunya dalam PH telah pun bersetuju beliau menjadi PM hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apa lagi?

Mungkin apa yang saya katakan dalam bahagian pertama rencara ini yang berdasarkan perancangan penyokong-penyokong tegarnya dalam Bersatu, pada masa itu, itu betul.

(Sekarang mereka pun telah tidak mengikutnya lagi kerana beliau telah menikam mereka dari belakang). Mengikut perancangan mereka, Dr. Mahathir akan meletak jawatan

sebagai memenuhi janjinya kepada Anwar. Selepas meletakkan jawatan, beliau akan dilantik semula dan mengangkat sumpah semula sebagai PM atas alasan majoriti ahli Dewan Rakyat masih menyokong beliau.

Sebab itulah apabila Yang di-Pertuan Agong memujuknya supaya tidak meletak jawatan, beliau tidak bersetuju. Sebab, jika beliau bersetuju, ertinya beliau tidak meletak jawatan, sebaliknya terus menjadi PM dan memungkiri janjinya kepada Anwar.

Tetapi, beliau tidak menyangka Muhyiddin akan menawarkan dirinya sebagai calon PM dan dilantik oleh Agong sebagai PM. Beliau tidak boleh menyalahkan Muhyiddin kerana berbuat demikian.

Ditipu

Kedua, Anwar dikatakan menolak cadangan Dr. Mahathir yang terbaharu itu kerana takut ditipu bagi kali ketiga. Yang sebenarnya adalah lebih daripada itu. Jawatan itu bukan kepunyaan Dr. Mahathir yang boleh diberinya kepada sesiapa yang beliau suka. Beliau hanya boleh mengosongkan jawatan itu dengan meletak jawatan.

Terserahlah kepada Agong untuk melantik sesiapa yang difikirnya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, boleh jadi orang lain, atau membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan pilihan raya semula.

Semua kemungkinan itu boleh berlaku dalam keadaan politik Malaysia hari ini, di mana tiada satu parti atau kumpulan tetap mempunyai majoriti yang kukuh.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Sekarang, Dr. Mahathir sudah terkeluar daripada Bersatu. Nampaknya, beliau tidak boleh mengacau Bersatu lagi selain daripada mencabar penyingkirannya di mahkamah.

Tetapi, beliau boleh terus mengacau PN dengan mencuba mendapatkan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada parti-parti yang bergabung dalam PN untuk melompat kepada PH.

Ahli-ahli Dewan Rakyat yang difikir berkemungkinan boleh dipengaruhi melompat, dijemput bertemu dengan beliau sendiri. Ada yang hadir. Ada yang, selepas itu, keluar daripada Bersatu tetapi, berhenti di separuh jalan dan mengisytihar sokongan kepada PN, mungkin kerana PN masih tidak tumbang. Ada yang sudah menetapkan tarikh mengadakan sidang akhbar untuk membuat perisytiharan keluar daripada Bersatu, tetapi, setelah beberapa kali menangguh, 'menekan brek emergency', juga mungkin kerana PN masih juga belum tumbang.

Setiap hari kita membaca laporan siapa bakal membuat lompatan dan penafian, di kedua-dua belah pihak. Perhimpunan diadakan untuk menunjukkan kesetiaan kepada parti, pemimpin-pemimpin cuba meyakinkan betapa kukuhnya kedudukan parti, tetapi ada juga yang keluar. Difahamkan, banyak yang menunggu kerajaan tumbang atau menjadi lebih kuat, untuk memilih berada di pihak yang menang.

Jika dalam politik yang penting hanya menang atau berada di pihak yang menang, maka tindakan mereka itu boleh difahami. Tetapi, begitukah?

*Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara