Cabaran Covid-19 di Asia Tengah

A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) melanda seluruh dunia termasuk rantau Asia Tengah yang terkenal dengan ‘Laluan Sutera’ serta bandar raya sejarah seperti Bukhara dan Samarkand yang pernah menjadi pusat peradaban Islam suatu ketika dahulu.

Jika dibandingkan dengan rantau lain, misalnya Asia Timur serta Eropah, masih wujud kekurangan perbincangan mengenai dampak Covid-19 ke atas Asia Tengah.

Apa yang lebih mengejutkan, kes Covid-19 di rantau Asia Tengah masih di tahap rendah (35,770 kes; 250 kematian) walaupun bersempadan dengan negara-negara seperti Rusia (606,881 kes; 8,513 kematian), Iran (212,501 kes; 4,634 kematian) dan China (83,449 kes; 9,996 kematian), yang pernah menjadi epicenter pandemik.

Rantau Asia Tengah terdiri daripada lima negara bekas Soviet Union iaitu Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.

Kes pertama yang dilaporkan di Asia Tengah berlaku di Kazakhstan pada awal Mac.

Berdasarkan statistik pada akhir Jun ini, negara yang paling banyak kes dan kematian ialah Kazakhstan (19,285 kes; 136 kematian) diikuti oleh Uzbekistan (6,901 kes; 19 kematian), Tajikistan (5,630 kes; 52 kematian) dan Kyrgyzstan (3,954 kes; 43 kematian). Turkmenistan pula mengumumkan negaranya bebas daripada kes Covid-19.

Kebanyakan negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan mengambil langkah kawalan pergerakan seperti penutupan sempadan, sekolah, universiti dan membatalkan perhimpunan awam.

Turkmenistan pula mengambil langkah berbeza dengan menganjurkan acara awam seperti rali basikal melibatkan 7,000 peserta di ibu kota Ashgabat pada 7 April, malah perbincangan mengenai Covid-19 tidak dibenarkan serta larangan memakai topeng muka.

Artikel Berkaitan:

Namun, kerajaan Turkmenistan mengambil tindakan dengan menyembur asap berbanding membakar daun yuzarlik yang dikatakan boleh membunuh virus.

Petroleum

Dampak paling utama rantau Asia Tengah ialah kejatuhan harga petrol disebabkan penurunan permintaan petrol dari China akibat PKP di kebanyakan bandar utama China. Kazakhstan, salah sebuah negara pengeksport petrol ke China, ekonominya terjejas akibat pengurangan permintaan petrol.

Uzbekistan turut menghadapi masalah penurunan harga petrol dan gas asli. Bank Pembangunan Asia telah meramalkan penurunan sebanyak 0.9 peratus Keluaran Negara Kasar (KNK) Uzbekistan dari 5.6 peratus pada 2019 ke 4.7 peratus pada 2020.

Kyrgyzstan dan Tajikistan merupakan negara yang lebih mundur di rantau Asia Tengah berbanding Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.

Ekonomi Kyrgyzstan dan Tajikistan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 kerana sumber pendapatan kedua-dua negara banyak bergantung kepada kiriman wang oleh warganegara yang bekerja di luar negara.

Misalnya, kiriman wang menyumbang kira-kira 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Tajikistan kerana ramai penduduknya bekerja sebagai buruh di Nur-Sultan, Kazakhstan serta di Moscow, Rusia namun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai di antara mereka hilang pekerjaan.

Selain industri petroleum, industri pelancongan turut mengalami kerugian serius.

Asia Tengah sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana keindahan semula jadi seperti Tasik Marguzoe, Pergunungan Fann di Tajiskistan dan bandar raya bersejarah, misalnya Samarkand di Uzbekistan merupakan antara pusat tarikan pelancongan dunia. Malangnya ramai pelancong membatalkan tempahan kerana PKP.

Di Uzbekistan, sektor pelancongan rugi sebanyak AS$30 juta sejak bulan Februari hingga April (musim bunga). PKP di Asia Tengah juga mengakibatkan ramai penduduknya hilang kerja.

China bergiat aktif menyalur bantuan kepada negara-negara Asia Tengah menghadapi Covid-19. Bantuan China termasuk sumbangan sebanyak 100,000 topeng muka, 1,000 Personal Protective Equipment (PPE). China juga menyalurkan bantuan peralatan perubatan kepada kerajaan Kyrgyzstan.

Di samping itu, negara-negara dan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, IMF, Bank Pembangunan Asia turut menyalurkan bantuan ke negara di Asia Tengah yang terkesan akibat Covid-19.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya