Belum jelas perbelanjaan berhemah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

WALAUPUN penularan pandemik koronavirus (Covid-19) nampaknya semakin terkawal dan kerajaan terus melonggarkan kawalan pergerakan, kita masih wajib berjaga-jaga.

Covid-19 masih ada dan boleh jadi akan kekal buat satu jangka masa yang panjang atau selama-lamanya.

Di China, di mana pandemik itu bermula, jangkitan baharu berlaku semula setelah diisytiharkan tamat.

Di negara kita pun, pandemik itu boleh meledak semula pada bila-bila masa memandangkan sikap kurang disiplin dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.

Kita tidak boleh pandang ringan hal itu kerana jangkitan baharu mungkin lebih teruk dan berbahaya.Proses pemulihan sosial dan ekonomi akan mengambil masa dan akan melalui laluan yang sukar serta mencabar.

Kerajaan sendiri akhirnya terpaksa tunduk kepada hakikat sebenar bahawa ia kekurangan wang.Beberapa kenyataan awal Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kewangan kerajaan kukuh sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dituduh berbohong kerana berkata kerajaan tiada wang, terbukti kurang tepat.

Ini terbukti apabila Tengku Zafrul mengaku bahawa tahap hutang negara mungkin mencecah had berkanun 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun ini berbanding 52 peratus sekarang.

Itu adalah kerana kerajaan sendiri akan berhutang RM35 bilion daripada kita semua melalui pasaran modal bagi menampung sebahagian kos Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang bernilai RM260 bilion.

Artikel Berkaitan:

Menjelang akhir tahun ini, jumlah hutang negara akan bersamaan dengan 55 peratus daripada nilai semua barang dan perkhidmatan yang akan dijana oleh ekonomi negara.

Apakah erti dan kesan semua ini? Pertama sekali Menteri Kewangan mengaku bahawa kadar hutang kerajaan Malaysia akan mencecah paras yang dihadkan.

Hutang kerajaan mula melonjak pada tahun 2009 iaitu serentak dengan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri. Jelas dasar beliau ialah berbelanja dengan banyak dan berhutang besar.

Nisbah hutang kerajaan berbanding KDNK melonjak daripada 40 peratus pada tahun 2008 kepada 50.41 peratus pada 2009 dan 51.2 peratus 2010.

Akibat dasar berhutang, nisbah hutang melepasi 55.57 peratus apabila kerajaan pimpinan beliau ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum 2018. Paras paling tinggi adalah 56.97 peratus pada tahun 2015.Hutang yang besar itu antara sebab nilai ringgit lemah.

Langkah Tengku Zafrul membuat pinjaman baharu RM35 bilion itu akan menambah lagi kesan negatif ke atas kadar faedah dan nilai ringgit.

Apabila mana-mana kerajaan pun meminjam dengan banyak daripada pasaran modal, kadar faedah akan naik dan nilai mata wang merosot. Bila nilai ringgit jatuh, harga barang import naik secara automatik.

Natijahnya walaupun pasaran kewangan kita mempunyai mudah tunai yang banyak dan kerajaan berhutang untuk membantu rakyat serta menjana pemulihan ekonomi, kita akan merasa kesan buruk sebelum menikmati kebaikannya.

Amat penting kerajaan berbelanja dengan berhemah bagi memaksimumkan kesan suntikan kewangan ke atas ekonomi.Oleh itu, penubuhan Kabinet yang besar, pelantikan Timbalan Menteri yang ramai, faraid jawatan GLC serta boros belanja ke atas eksekutif tidak membantu menaikkan keyakinan terhadap financial prudence kerajaan.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara