Anwar hilang pengaruh dalam PH

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM – Pemilihan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) membuktikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang pengaruh di dalam PH.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, perkara itu dibuktikan apabila wujud perbincangan tidak rasmi antara DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), dan Warisan itu kelmarin tanpa penglibatan PKR.

“Pertama, Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri buat selama-lamanya. Ini juga sekali gus akan memusnahkan PKR dan berakhirlah politik dinasti Anwar di Malaysia.

“Ini juga dengan jelas menunjukkan parti seperti DAP, Amanah dan Warisan juga telah mengkhianati PKR dan Anwar.

"Parti-parti ini percaya bahawa Anwar dan PKR tidak akan berjaya menarik undi orang-orang Melayu untuk kembali ke PH Plus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Anwar, Mukhriz TPM sekiranya Shafie calon PM: Tun M

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut menurutnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat akan terus meminggirkan Anwar dan PKR daripada sebarang perbincangan mengenai PH pada masa akan datang.

Tambah beliau, menerusi tulisan Dr Mahathir menerusi laman blognya, CheDet, beliau mendakwa dapat menarik undi orang Melayu untuk menyokong PH dan bukannya Anwar.

“Dengan pengaruhnya, Dr Mahathir akhirnya berjaya meletakkan ‘kroni’ beliau sebagai calon Perdana Menteri dan anak beliau (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sebagai Timbalan Perdana Menteri dua tanpa berbincang langsung dengan PKR yang mempunyai 39 kerusi ahli Parlimen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau turut membuat kesimpulan bahawa, PKR dan Anwar sudah tidak lagi bernilai bagi DAP, Amanah dan Warisan.

“Parti-parti ini mengkhianati semangat setiakawan PKR dan Anwar sehingga bersetuju bersekongkol dengan Dr Mahathir untuk mencalonkan Shafie dan Mukhriz sekali gus meneruskan legasi dan dinasti Dr Mahathir.

“Persoalan sekarang ialah adakah PKR dan Anwar akan berdiam diri di atas pengkhianatan dan penghinaan yang dilakukan oleh bekas rakan-rakan beliau dalam PH?

"Jangan lupa, PKR masih mempunyai 39 kerusi Parlimen dan tanpa sokongan Anwar dan PKR, Shafie tidak mungkin jadi Perdana Menteri. Apa pun kita tunggu pula apa 'drama' Dr Mahathir selepas ini,” katanya.