Anwar, Mukhriz TPM sekiranya Shafie calon PM: Tun M

Mahathir dalam siaran langsung Facebook Live sebentar tadi.
Mahathir dalam siaran langsung Facebook Live sebentar tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dicalonkan secara rasmi sebagai Perdana Menteri kesembilan manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipertikaikan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dicapai dalam pertemuan yang diadakan beliau dengan beberapa pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah), DAP, Warisan termasuk Bersatu di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur kelmarin.

Beliau berkata, perbincangan yang diadakan secara tidak formal itu dihadiri oleh Shafie, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Tan Kok Wai dan beberapa lagi rakan pemimpin yang menyokongnya.

Katanya yang juga Pengerusi Bersatu dipertikaikan, Mukhriz serta bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya turut menyertai bersama dalam pertemuan tersebut.

"Di dalam pertemuan itu kita bincangkan pelbagai perkara berkaitan negara pada masa kini termasuk mengenai hala tuju perjuangan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat yang telah dirampas oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya sehingga tertubuhnya kerajaan pintu belakang menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.

"Malah kita juga membincangkan soal calon Perdana Menteri dan saya juga terbuka kepada apa juga cadangan termasuk jika saya tidak dicalon sebagai bakal Perdana Menteri.

"Di antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri dan kami akhirnya sebulat suara bersetuju dengan pencalonan tersebut termasuk pencalonan Anwar dan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beliau menyokong penuh cadangan tersebut dan apa yang penting ialah untuk mempunyai pendirian yang tegas supaya rakyat mengetahui pendirian sebenar mereka.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata, mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa Shafie pula diangkat sebagai calon Perdana Menteri menggantikannya dan pemilihan tersebut adalah kerana Shafie merupakan salah seorang pemimpin asal menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum PRU14.

Tegasnya, Shafie juga salah seorang pemimpin yang menjadi mangsa awal 'Kerajaan Najib' (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) dan telah disingkirkan dari jawatan menteri serta Naib Presiden UMNO kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuah dan pencurian wang rakyat menerusi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang begitu memualkan.

"Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin tapi kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kleptokrats yang dahulu menghukum dan menyingkirnya.

"Saya percaya jika langkah kami berjaya, ia akan merapatkan lagi hubungan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak malah cadangan ini juga akan dapat diterima oleh rakyat sebagai bukti bahawa personaliti di dalam pemimpin-pemimpin parti pembangkang tidak utamakan kedudukan dan jawatan," katanya.

Dr Mahathir berkata, apa yang penting ialah meneruskan perjuangan yang dimulakan sejak tahun 2015 untuk membersihkan negara dari kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan ketika itu kerana sikap tamak, bongkak dan kepentingan diri.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, satu usul tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin akan dikemukakan pada sidang Parlimen Julai ini.

"Insya-ALLAH dengan sokongan ahli-ahli Parlimen yang tidak boleh menerima kerajaan pintu belakang Muhyiddin dan mahu mengembalikan mandat rakyat akan bersama saya dan rakan-rakan lain menyokong usul Shafie menjadi Perdana Menteri.

"Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti yang dituntut rakyat akan dapat dipenuhi sekaligus dapat menamatkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat," katanya.