Kalau PKR tidak setuju, Shafie sukar jadi PM: Amanah

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Md Shafie Apdal dipilih sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang sukar hendak direalisasikan sekiranya tidak mendapat persetujuan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau berpandangan Mohd Shafie turut berkemungkinan tidak mendapat sokongan mencukupi daripada majoriti ahli Parlimen bagi menjadi Perdana Menteri sekiranya ahli Parlimen daripada PKR tidak menyokong beliau.

Menurutnya, di sebalik usaha mengambil alih semula mandat rakyat adalah satu kewajipan yang harus dilaksanakan pihak pembangkang dengan apa jua cara, inisiatif itu wajib disertakan dengan usaha sama PKR.

"Secara peribadi, saya mengakui keutamaan pembangkang untuk mengembalikan semua mandat rakyat daripada kerajaan rampasan kuasa dan tebuk atap pada ketika ini adalah satu kewajipan.

"Apa sahaja kaedah untuk melantik Perdana Menteri dalam kalangan pembangkang bagi menghilangkan majoriti (Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin, pada dasarnya kita bersetuju termasuklah cadangan pelan ketiga mencalonkan Shafie Apdal.

"Bagaimanapun, kalau PKR tidak bersetuju, tidak boleh juga Shafie Apdal jadi Perdana Menteri kerana beliau tidak cukup sokongan. Pandangan peribadi saya adalah sebarang usaha pihak pembangkang wajib kena ada usaha sama dengan PKR," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Tun M mahu Shafie Apdal jadi PM

Mohammad Nizar berkata demikian sewaktu mengulas pendedahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa beliau bersama penyokongnya bersetuju memilih Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi blok pembangkang.

Menerusi kenyataan dalam satu klip rakaman video yang tular sejak tengah hari tadi, Dr Mahathir turut mendakwa nama Mohd Shafie turut disokong DAP dan Amanah dalam satu pertemuan dengan kepimpinan Warisan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengenai dakwaan nama Mohd Shafie dipilih sebagai calon Perdana Menteri turut mendapat sokongan Amanah dan DAP, Mohammad Nizar menegaskan hanya kepimpinan tertinggi parti yang boleh menjawab kesahihan perkara itu.

Menurutnya, Dr Mahathir sepatutnya memberikan penjelasan bila pertemuan diadakan di antara pihaknya dengan Amanah serta DAP kerana kenyataan beliau di dalam klip video tular itu seolah-olah 'tergantung'.

"Mengenai dakwaan Tun (Dr) Mahathir, saya fikir lebih baik anda minta pengesahan daripada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN - Amanah tidak tahu Shafie Apdal calon PM

Sementara itu, pemangku Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir ketika dihubungi Sinar Harian menegaskan masih belum ada apa-apa keputusan kolektif dibuat kepimpinan parti berhubung cadangan mengangkat Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri.

Menurutnya, kepimpinan Amanah pasti akan bermesyuarat segera untuk memutuskan hal itu sekiranya wujud sebarang perubahan dalam memutuskan calon Perdana Menteri.

"Sehingga ke saat ini, Amanah akan terus berperanan penuh dan berusaha sebaiknya dalam mengembalikan mandat rakyat sekaligus merealisasi agenda perubahan yang terkandas rentetan pengkhianatan kerajaan baharu menerusi Langkah Sheraton," katanya.