X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 10 kes baharu, tiada kematian

Dr Noor Hisham
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 10 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 8,616 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, empat kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warga tempatan dan tiga bukan warganegara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Menurutnya, daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah bukan warganegara Malaysia.

“Jangkitan dalam negara yang melibatkan warga tempatan itu adalah satu kes saringan pra pembedahan di Selangor dan tiga kes daripada saringan pelajar tahfiz di Kuala Lumpur.

“Bagi kes jangkitan bukan warganegara pula melibatkan dua kes masing-masing satu kes di Negeri Sembilan iaitu kes saringan orang kena tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap dan satu kes saringan pekerja kontrak di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 14 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 8,308 kes iaitu 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 semalam terus menurun kepada 187 kes.

“Sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kekal 121 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM meneruskan aktiviti survelan Covid-19 terhadap mereka yang pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia melalui pintu masuk antarabangsa termasuklah pemastautin tetap serta mereka yang dibenarkan masuk atas urusan kerja.

Katanya, sehingga 25 Jun 2020, seramai 61,576 individu telah pulang dari luar negara dan 610 daripadanya dikesan positif Covid-19.

“Bermula 10 Jun 2020, individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dengan menjalani pengawasan dan pemerhatian atau Home Surveillance Order (HSO) selama 14 hari berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Mereka juga dikehendaki memakai Gelang Perintah Pengawasan sepanjang tempoh itu dan perlu menjalani ujian serologi Covid-19 di klinik kesihatan/klinik swasta yang diiktiraf oleh KKM pada hari ke-13 sebelum menyerahkan laporan ujian tersebut di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat keesokannya untuk mendapatkan perlepasan.

“Mereka yang gagal mematuhi arahan ini akan diambil tindakan dan KKM menyeru individu yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!