Tiada halangan warga asing kerja atas vesel

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara dasar tidak menghalang kru warga asing bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata warga asing yang terlibat bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran keluar negara daripada kerajaan masing-masing terlebih dahulu.

Mereka juga perlu memohon Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan menjalani saringan Covid-19 serta kuarantin wajib 14 hari.

“Pihak majikan juga perlu menyediakan tempat tinggal bagi kru warganegara asing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, mesyuarat khas tersebut turut bersetuju membenarkan ekspatriat yang berada di Malaysia untuk keluar negara namun hanya atas urusan kecemasan atau perubatan.

Katanya, kerajaan Malaysia juga tidak menghalang warga asing yang berhasrat pulang ke negara asal dengan syarat perjalanan pulang sehala sahaja.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata warga asing yang tiada dokumen perjalanan perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing.

Menyentuh pematuhan PKPP, beliau berkata Polis Diraja Malaysia telah menahan 53 individu dengan lapan direman dan 45 lagi dikenakan kompaun atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

Artikel Berkaitan:

Antara kesalahan ialah aktiviti karaoke atau pusat hiburan keluarga, aktiviti dalam pub atau kelab malam, refleksologi atau urut, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarakkan sosial dan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata tujuh warganegara asing ditahan semasa sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, sebanyak 20 operasi sanitasi awam meliputi 16 zon di tujuh negeri antaranya Sabah, Melaka dan Perak dijalankan semalam.

Dalam perkembangan lain, seramai 425 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam dan daripada jumlah itu, 422 individu diperintah menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing manakala tiga lagi dibawa ke hospital.

“Seramai 140 individu pula telah memasuki sempadan negara di Johor dan kesemua mereka diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Mengenai tapak binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 53 tapak binaan di seluruh negara semalam, dan daripada jumlah itu, didapati 37 tapak binaan patuh SOP, 11 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran manakala lima tapak binaan tidak beroperasi. - Bernama