40 PATI Rohingya dipenjara tujuh bulan

Antara PATI ditahan dalam Operasi Covid Laut pada 23 Mac lepas.
Antara PATI ditahan dalam Operasi Covid Laut pada 23 Mac lepas.
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 40 etnik Rohingya dijatuhi hukuman tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Langkawi pada Rabu lalu kerana memasuki negara ini secara haram.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lepas atas tuduhan masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit imigresen sah.

Menurut kenyataan itu, 40 etnik Rohingya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Ridzuan Salleh.

Mohd Ridzuan Salleh menjatuhkan hukuman tujuh bulan penjara dan tiga sebatan kepada 31 lelaki manakala sembilan lagi wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan tanpa sebatan bermula pada tarikh ditangkap.

Sementara itu, 14 lagi PATI berusia bawah umur 16 tahun dihantar ke asrama akhlak bagi menunggu tarikh sebutan semula pada 8 Julai 2020 di Mahkamah Kanak-Kanak Langkawi dengan kehadiran penasihat undang-undang.

Terdahulu mereka dituduh mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155)(Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Sebelum ini, kesemua tertuduh telah ditahan Bot KILAT 6 milik APMM ketika berada di dalam bot asing di kedudukan 32 batu nautika barat Pulau Beras Basah Langkawi ketika menjalankan operasi Covid Laut pada 23 Mac lalu.

Artikel Berkaitan: