Terengganu nafi beri lesen rumah urut jalan aktiviti tidak bermoral

MBKT mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan kerajaan Terengganu membenarkan atau mengeluarkan lesen kepada rumah urut tidak bermoral untuk beroperasi.
MBKT mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan kerajaan Terengganu membenarkan atau mengeluarkan lesen kepada rumah urut tidak bermoral untuk beroperasi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menafikan mengeluarkan lesen bagi membolehkan rumah urut yang menawarkan khidmat tidak bermoral beroperasi di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan Terengganu tidak membenarkan premis rumah urut tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini.

Menurutnya, dakwaan disebarkan menerusi saluran YouTube serta media sosial Facebook itu mengandungi unsur fitnah terhadap kerajaan Terengganu.

“Kita tidak membenarkan rumah urut maksiat beroperasi di negeri ini. Apa yang ada hanyalah rumah urut tradisional yang menyediakan perkhidmatan urut yang diluluskan kerajaan terdahulu serta beberapa pusat urutan kaki atau refleksologi.

“Terdapat juga perkhidmatan urutan tradisional yang dibenarkan beroperasi seperti urutan kampung yang menggunakan perkhidmatan tukang urut wanita untuk pesakit wanita serta tukang urut lelaki untuk pesakit lelaki.

“Kita tidak pernah membenarkan atau mengeluarkan lesen bagi rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral untuk beroperasi di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa kerajaan Terengganu membenarkan rumah urut yang menyediakan perkhidmatan tidak bermoral beroperasi di negeri ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan menerusi video berdurasi 11:07 minit yang disiarkan melalui saluran YouTube pada Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan video itu, Zamir mendakwa setakat ini terdapat sebanyak empat rumah urut yang berlesen dibenarkan beroperasi di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan kini ditutup ekoran wabak koronavirus (Covid-19).

“Kita perhatikan, rumah urut ini beroperasi seperti biasa sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu dan kini ditutup disebabkan arahan oleh kerajaan yang tidak membenarkan premis terbabit beroperasi dalam tempoh PKP,” katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan semalam menafikan dakwaan terbabit serta menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan lesen kepada premis rumah urut untuk beroperasi.

Datuk Bandar, Shahidan Embok berkata, MBKT tidak membenarkan rumah urut yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral untuk menjalankan operasi di kawasan bandar raya ini.

“Pihak MBKT menafikan tohmahan yang tular di media sosial dan YouTube mengatakan kita mengeluarkan lesen bagi premis rumah urut berunsurkan maksiat atau seumpama dengannya," katanya.