Industri penerbangan ambil masa dua tahun untuk pulih

Industri penerbangan negara yang terjejas teruk eko­ran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dijangka akan mengambil masa sekitar dua tahun untuk pulih. (Gambar kecil: Abdul Rahmat Omar)
Industri penerbangan negara yang terjejas teruk eko­ran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dijangka akan mengambil masa sekitar dua tahun untuk pulih. (Gambar kecil: Abdul Rahmat Omar)
A
A
A

SHAH ALAM - Industri penerbangan negara yang terjejas teruk ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dijangka akan mengambil masa sekitar dua tahun untuk pulih.

Pakar Penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, ia akan pulih sehingga keyakinan penumpang terhadap keselamatan dan kesihatan mereka dilihat lebih terjamin.

“Saya menjangkakan keadaan sekarang ini akan berterusan buat setahun dua lagi.

“Ini kerana beberapa buah negara yang lebih lama mencapai sifar jangkitan Covid-19 seperti Vietnam pun masih merasa tidak yakin untuk membuka sempadan mereka semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Abdul Rahmat Omar berkata, sekiranya kerajaan turut sama membantu dalam usaha meningkatkan pelancongan domestik ia sangat membantu syarikat-syarikat penerbangan untuk meneruskan kelangsungan operasi masing-masing

“Syarikat-syarikat penerbangan juga perlu mencari cara untuk menarik minat pelancong domestik untuk gunakan perkhidmatan mereka.

“Untuk itu, mereka perlu perkenalkan pakej-pakej menarik menerusi usahasama dengan para pengusaha hotel dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang apa pilihan yang boleh dipertimbangkan industri penerbangan untuk kekal beroperasi, beliau berkata, syarikat penerbangan boleh menggunakan pesawat penumpang untuk perkhidmatan kargo.

Artikel Berkaitan:

“Saya kurang bersetuju kalau syarikat penerbangan mengurangkan kakitangan kerana penggunaan pesawat masih boleh ditukarkan kepada perkhidmatan kargo.

“Kalau saya di tempat syarikat penerbangan, saya lebih cenderung dapatkan persetujuan untuk potongan elaun pekerja berbanding mengurangkan jumlah kakitangan dalam era Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut dapat memastikan kebajikan pekerja tidak dipinggirkan.