Ronaldo perlu diturunkan lebih kerap

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

Pengendalli Juventus, Maurizio Sarri menegaskan bahawa prestasi bintang Portugal, Cristiano Ronaldo akan meningkat kembali jika diturunkan lebih kerap selepas saingan Serie A bersambung setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, sebelum ini.

Sarri berkata, pemenang lima kali Ballon d'Or itu perlu lebih kerap diberikan peluang beraksi dalam usaha mengembalikan tahap kecergasan dan prestasi sebenarnya.

Menurutnya, Ronaldo dilihat berada pada tahap prestasi yang baik Jumaat lalu dan percaya pemain berkenaan akan berada pada tahap yang lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang.

"Ronaldo kini dalam keadaan yang baik dan sudah boleh beraksi. Cuma, dia perlu meningkatkan prestasinya selepas penangguhan (Serie-A) dan kita dapati memang dia melakukannya setiap kali selepas perlawanan.

"Dia perlu beraksi dengan lebih kerap. Pada masa hadapan, kita akan lihat bagaimana untuk menurunkannya (pada masa yang tepat) dalam beberapa perlawanan.

"Dia dilihat bagus untuk mendengar suara hatinya sendiri dan menyedari bilakah masanya untuk berhenti dan berehat; tetapi sekarang saya fikir di dalam keadaan yang cukup baik," katanya.

Untuk rekod, Ronaldo menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Lecce 4-0, Jumaat lalu dan sekali gus melebarkan jurang mata dengan pencabar terdekat, Lazio.

Terdahulu Ronaldo membantu Paulo Dybala menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-53 dan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62, Ronaldo kemudiannya membantu pemain gantian Gonzalo Higuain menjaringkan gol pada minit ke-83 sebelum membantu Matthijs de Ligt meledak gol keempat lima minit sebelum wisel penamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika mengulas mengenai kritikan terhadap Higuain, Sarri berkata, bintang Argentina itu adalah pemain penting dalam pasukannya pada ketika ini.

Katanya, Higuain juga dilihat mampu membantu pasukan melakar lebih banyak kejayaan bagi mengharungi baki saingan Serie A, musim ini.

"Bagi kami, dia (Higuain) adalah pemain yang penting. Dia bertenaga dan boleh dilabel sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini; mungkin juga sebagai penentu bagi kami di penghujung musim.

"Dia pernah mengalami saat-saat sukar ketika saingan liga ditangguhkan, namun kini dia telah kembali dan kita gembira dengan perkembangan ini," katanya.