Tekun Nasional tak abai pembiayaan rider penghantaran

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tekun Nasional menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang mengatakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu tidak menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah dengan nilai sehingga RM10,000 kepada rider penghantaran.

Pengurus Tekun Nasional Sarawak, Roslan Ais berkata, pada awal April lalu, pihaknya telah mewujudkan skim pembiayaan tanpa faedah kepada rider penghantaran iaitu Tekun Mobilepreneur 1.0 dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000.

Beliau berkata, skim itu untuk rider e-hailing yang memiliki motosikal dan bertujuan membaiki motosikal serta memasang tambahan aksesori.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 211 permohonan telah diluluskan membabitkan nilai pembiayaan RM394,000.

Katanya, skim itu terbuka kepada 500 pemohon terawal dan pemohon perlulah mendaftar sebagai ahli e-hailing terlebih dahulu.

"Bagi skim pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0 yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (awal bulan Jun) baru-baru ini pula ialah skim dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10,000.

"Skim itu bertujuan untuk pembelian motosikal baharu dan modal pusingan bagi 'rider e-hailing' yang telah berdaftar dengan syarikat e-hailing.

"Skim Tekun Mobilepreneur 2.0 ini dibuka untuk permohonan sejak pengumuman tersebut untuk 100 pemohon awal yang layak dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Chee How dilaporkan membuat lawatan ke pejabat Tekun Nasional Sarawak pada 23 Jun lalu, sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa Tekun Nasional tidak menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah dengan nilai sehingga RM10,000.

Dalam pada itu, Roslan berkata, perasmian pelancaran Tekun Mobilepreneur 2.0 akan dijalankan pada 7 Julai ini dan kepada semua rider e-hailing yang menepati syarat-syarat boleh mula memohon skim itu dengan had kelulusan permohonan kepada 500 orang sahaja.

Katanya, kedua-dua skim yang ditawarkan oleh Tekun Nasional itu terbuka khusus untuk kaum bumiputera dan India sahaja, manakala skim pembiayaan mikro untuk kaum-kaum lain boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Saya harap dengan kenyataan ini dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ADUN Batu Lintang berkaitan Skim Tekun Mobilepreneur 2.0, sekali gus menafikan tuduhan yang dibuat beliau melalui media Borneo Post baru-baru ini," katanya.