17 PATI warga Myanmar ditahan

Antara PATI yang ditahan APMM Pulau Pinang semalam.
Antara PATI yang ditahan APMM Pulau Pinang semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 17 lelaki warga Myanmar yang bekerja di sangkar ikan di tengah laut ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.

Kesemua mereka ditahan menerusi Operasi Benteng Laut di kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Batu Maung di sini.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, hasil daripada pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka memiliki permit kerja yang telah tamat tempoh pada Februari 2018 manakala 14 yang lain tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 55E(1) kerana menempatkan PATI di premis dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamizan berkata, pihaknya akan mempergiatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras kegiatan jenayah di perairan Pulau Pinang.

Katanya, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel Berkaitan: