RUU gangguan seksual, profesion kerja sosial akan dibentang

Rina Harun - Foto Bernama
Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kedua-dua draf RUU itu telah dibuat penambahbaikan dan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

“Kita akan cuba bentang dalam sesi Parlimen tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya berhubung pelancaran insentif Penjana khusus untuk golongan sasar kementerian itu yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan komuniti.

Mengulas lanjut Rina berkata, KPWKM mempunyai pelbagai dasar, namun ianya perlu diperhalusi termasuklah Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Warga Emas Negara.

“Apa yang penting segala dasar yang dibuat perlu kepada pelaksanaan. Dalam hal ini ia bukan sahaja melibatkan kementerian bahkan negeri-negeri kerana terdapat undang-undang yang berbeza di kedua-dua peringkat.

“Setiap masyarakat juga perlu memahami bahawa undang-undang yang diwujudkan adalah untuk kebaikan secara keseluruhannya,” katanya.

Ditanya sebarang cadangan untuk golongan wanita khususnya ibu-ibu yang mempunyai anak kecil untuk meneruskan normal baharu bekerja dari rumah (BDR), beliau berkata, perkara itu memerlukan perbincangan lanjut yang melibatkan ramai pihak.

“Cuma buat masa sekarang BDR telah dipraktikkan, dan bermaksud pekerjaan dari rumah pun boleh dijalankan. Namun untuk dilaksanakan kita perlu perbincangan lanjut kerana ada yang boleh dibuat di rumah dan ada yang perlu turun ke lapangan.

Artikel Berkaitan:

“Seperti warga KPWKM, dengan jumlah kakitangan kurang daripada 9,000 orang, kira-kira 5,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang perlu ‘turun padang’ untuk menyampaikan bantuan terutama di kawasan pedalaman yang tiada akses internet.

“Namun begitu, saya mengambil kira pandangan ini bahawa apa yang dipraktikkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (merujuk kepada BDR) sebagai sesuatu yang positif. Mungkin kita boleh fikirkan kaedah yang lebih baik terutama kepada mereka yang mempunyai anak kecil yang memerlukan lebih perhatian,” katanya.

Rina turut menyatakan rasa penghargaan kepada warga kementerian itu khususnya JKM yang berkhidmat menjaga kebajikan masyarakat pelbagai peringkat sewaktu krisis Covid-19.

Mengenai perkhidmatan khas talian telekaunseling melalui Talian Kasih yang diwujudkan kementerian itu, beliau berkata, ia turut membantu memberi sokongan psikologi kepada orang ramai yang terkesan termasuk semasa tempoh PKP.

“Kita menerima lebih daripada 2,000 panggilan yang berkaitan telekaunseling dalam tempoh PKP. Ada yang tertekan sebab tak biasa duduk di rumah, ditambah pula keadaan rumah yang sempit dengan penghuni yang ramai.

“Mereka ini akan diberikan bantuan kaunseling oleh kaunselor yang terdiri daripada seramai 538 orang di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan JKM di seluruh negara,” katanya.

Talian Kasih KPWKM beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan boleh dihubungi melalui 15999 atau WhatsApp di nombor 019-2615999. - Bernama