Pendigitalan perkhidmatan kerajaan percepat urusan

Aspek pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan penting ke arah pengamalan normal baharu dan mengurangkan transaksi fizikal. - Foto Bernama
Aspek pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan penting ke arah pengamalan normal baharu dan mengurangkan transaksi fizikal. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pandemik Covid-19 jelas telah mengubah cara kehidupan dan landskap pengoperasian perniagaan, ekonomi dan bahkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Akibat penularan wabak itu, Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menuntut kepada normal baharu cara pengoperasian sektor-sektor ekonomi, sekali gus membuka mata pelbagai pihak mengenai pentingnya aspek pendigitalan bagi memudahkan urusan, lebih-lebih lagi dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan 5 Jun lepas, kerajaan Malaysia memberi isyarat bahawa ekonomi negara bersedia untuk pemulihan dan negara perlu mencari dan menggunakan sebaik mungkin peluang-peluang ekonomi yang melibatkan soal pendigitalan bagi melonjakkan daya saingnya.

Menerusi Penjana, aspek pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi antara inisiatif yang diberi tumpuan penting bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah pengamalan normal baharu dan mengurangkan transaksi fizikal.

Mengulas perkara itu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, inisiatif berkenaan dapat mempercepatkan perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan mengurangkan keperluan mereka untuk berkunjung ke kaunter di agensi kerajaan selain menyediakan persekitaran perkhidmatan yang boleh dilaksanakan secara bekerja dari luar atau bekerja dari rumah.

“Ia juga bagi mengenal pasti perkhidmatan yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) melalui penambahbaikan proses, proses peningkatan kemahiran, sumber manusia, kajian peraturan dan polisi dan seterusnya menggunakan teknologi digital," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, melalui insiatif berkenaan, proses kerja dapat dilaksanakan oleh penjawat awam secara dalam talian di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, dengan sesetengah proses berkenaan boleh dilaksanakan secara automasi oleh sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus dapat memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat.

"Pengurangan atau penutupan kaunter di agensi kerajaan dapat dilakukan kerana rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan melalui dalam talian.

Artikel Berkaitan:

"Penjawat awam yang terlibat dengan pengurangan atau penutupan kaunter dapat diberi kemahiran baharu dan dilaksanakan penempatan semula mengikut keperluan," katanya.

Sejajar dengan teras ketiga Penjana iaitu merangsang ekonomi melalui pelanjutan waktu perkhidmatan dalam normal baharu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang merupakan pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan swasta di seluruh negara, dibuka semula sejak 15 Jun lepas dengan waktu operasi UTC diseragamkan.

Mohd Zuki turut berharap agar agensi-agensi kerajaan terutamanya agensi barisan hadapan dapat menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan dalam talian secara hujung ke hujung dan pelaksanaan program pengurusan perubahan dilaksanakan secara menyeluruh kepada penjawat awam dan rakyat bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan digunakan sepenuhnya.

Mengulas perkara sama, Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr Yusof Ismail berkata, daripada sejumlah 8,763 perkhidmatan di agensi persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, sebanyak 65.2 peratus atau 5,717 perkhidmatan masih belum disediakan melalui dalam talian secara hujung ke hujung.

“Semua agensi sektor awam disarankan untuk terus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) ini kerana sasaran kerajaan iaitu perkhidmatan dalam talian sebanyak 40 peratus pada hujung tahun tahun ini,” katanya.

MAMPU, selaku agensi pusat yang bertanggungjawab sebagai perancang dan peneraju agenda pendigitalan sektor awam, juga sedang merangka beberapa insiatif baharu yang masih dalam fasa kajian dan pembangunan, antaranya pengurusan repositori sektor awam iaitu “Malaysian Government Encyclopedia” (MyGovPedia) bagi menguruskan pangkalan pengetahuan pelbagai bidang, kata beliau.

Sementara itu, bagi seorang penjawat awam, Siti Zubaidah Hassan, 29, usaha kerajaan untuk merancakkan pendigitalan penyampaian dalam perkhidmatan perlu diberi tumpuan lebih-lebih lagi dalam situasi normal baharu yang menuntut semua menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

"Jadi apabila perkhidmatan kerajaan boleh dilaksana dan diakses secara dalam talian, ia amat memudahkan pelbagai pihak kerana menjimatkan masa serta kos perjalanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa sama kemudahan telekomunikasi dan capaian internet di kawasan pedalaman perlu ditambah baik dan dinaik taraf memandangkan mereka yang berada di kawasan itu agak sukar untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.

Penjana yang bertema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengandungi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion dengan tiga teras utama iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.- Bernama