Jabatan Pertanian perkenal standard Durian Kampung Premium

Ahmad (dua dari kiri) melihat jenis-jenis durian kampung premium yang dihasilkan seluruh negara di Kem Bukit Perjuangan Jelebu, semalam.
Ahmad (dua dari kiri) melihat jenis-jenis durian kampung premium yang dihasilkan seluruh negara di Kem Bukit Perjuangan Jelebu, semalam.
A
A
A

JELEBU - Jabatan Pertanian Malaysia mewujudkan standard Durian Kampung Premium (DKP) bagi memastikan durian itu dapat dikomersialkan dengan lebih meluas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, standard DKP menjadi panduan untuk membezakan durian kampung yang berkualiti kepada dua kategori iaitu DKP dan durian kampung gred rendah.

Katanya, panduan itu penting sebagai rujukan kepada petani, penjual dan masyarakat mengenal pasti ciri-ciri DKP yang berkualiti dan setimpal harga.

“Bagaimanapun tidak bermakna Jabatan Pertanian hanya menggalakkan penanaman durian kampung sahaja tetapi kita mengesyorkan durian kampung gred rendah dibuat cantuman dewasa atau ditanam semula dengan varieti terpilih seperti musang king.

“Durian kampung ditanam menggunakan biji dan ada yang sangat berkualiti tetapi ada juga yang berkualiti rendah. Kita berharap DKP dapat membantu petani memasarkan produk mereka dengan lebih meluas pada harga yang lebih tinggi sekurang-kurangnya sama dengan musang king atau durian baka yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Walkabout dan Pelancaran Standard DKP di Kem Bukit Perjuangan Jelebu di sini semalam.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Nasir Waris.

Ahmad berkata, antara ciri-ciri DKP ialah buah bertangkai segar, bebas kotoran, tidak busuk, bentuk sempurna, isi krim, kuning atau jingga, ketebalan isi melebihi 10 milimeter (mm), kemanisan isi melebihi 25’brix, rasa berlemak dan sedikit pahit serta buah melebihi 1 kilogram.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kawasan tanaman durian pada tahun 2017 seluas 73,740 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 341,1332 tan metrik.

“Daripada keluasan itu sebanyak 38 peratus atau 28,021 hektar ditanam durian kampung, 20 peratus daripada itu durian kategori premium,” katanya.

Kata Ahmad, durian kampung biasa dan premium dijual pada harga yang sama tetapi selepas ini petani atau penjual boleh menjual buah jenis premium ini pada harga yang lebih tinggi sesuai kualitinya.