Petanda Liga-M mula lebih awal

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) dijangka berlangsung lebih awal daripada perancangan asal Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang sebelum ini dijadualkan bersambung semula pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya kini dalam usaha menyambung kembali saingan Liga-M lebih awal iaitu pada Ogos nanti jika mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.

“Kita jangkakan Liga-M boleh bermula lebih awal. Bagaimanapun, ada banyak prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dibincangkan bagi merealisasikan bola sepak mula saingan Liga-M pada Ogos depan.

“Setakat ini, tidak ada pasukan yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri, sebaliknya kesemua pasukan terbabit mahu terus kekal bersaing dalam aksi Liga-M mengikut kalendar baharu yang ditetapkan,” katanya pada sesi FB Live, Blindside di RTM Sports News semalam.

Menurutnya, sebagai badan yang bertanggungjawab mengendalikan saingan liga domestik, MFL sentiasa mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula aktiviti bola sepak di negara ini berikutan banyak pemegang taruh yang terlibat.

"Penganjuran semula saingan Liga-M yang ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu akibat Covid-19 secara tidak langsung akan membantu persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Oktober dan November depan.

“Begitu juga dengan persiapan skuad muda negara kendalian Brad Maloney sebelum mereka menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan Oktober depan. Jadi paling penting, skuad negara kita dapat mengadakan latihan,” katanya.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata, pihaknya akan memberikan cadangan kepada kerajaan untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium dengan had jumlah tertentu sebaik Liga-M bersambung nanti.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu liga bola sepak di luar negara telah bermula dan ia berlangsung tanpa kehadiran penonton. Banyak pasukan terkesan apabila perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton berikutan tidak lagi menerima sumber hasil kutipan tiket seperti sebelum ini.

“Di negara kita, tanpa kehadiran penonton, ia juga akan beri kesan dari segi kutipan tiket. Bagaimanapun, ketika ini semuanya berkaitan dengan soal keselamatan penonton dan ia perlu dibincangkan lagi,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula memberikan isyarat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk mengemukakan permohonan sesi latihan Fasa 2 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, FAM dan MFL perlu berbincang terlebih dulu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan SOP bagi sesi latihan Fasa 2 selain cadangan Liga-M dilangsungkan lebih awal dan kebenaran penonton hadir ke stadium secara terhad.