Pandanglah dari hati

A
A
A

MEMANG benar, hati merupakan raja kepada badan. Semua maklumat yang diterima oleh otak akan ditapis oleh hati untuk dibuat pertimbangan sebelum dihantar semula kepada otak bagi menyelaraskan segala tindakan yang perlu kita lakukan.

Kegagalan hati menyaring dengan baik, menyebabkan pertimbangan yang dihantar kepada otak adalah salah dan secara langsung tindakan kita menjadi mudarat.

Hakikatnya, semua tindak balas daripada deria ciptaan ALLAH akan dibawa kepada pertimbangan hati.

Pun begitu, deria yang paling sibuk menghantar maklumat ke hati adalah deria mata yang banyak ‘membebankan’ hati bagi memastikan kita tidak tergelincir daripada landasan yang lurus.

Menurut perpektif Islam, pandangan mata adalah cukup bahaya jika tidak ditangani dengan baik. Tambahan pula dengan hati yang cukup lemah dan rapuh, bukan sahaja mendedahkan diri kepada kejahatan luar, malah boleh menjauhkan diri kita daripada melihat kebenaran.

Ini bermakna, pandangan daripada hati hanya boleh datang daripada hati yang bersih dan suci. Berkaitan hal itu, Rasulullah SAW bersabda. “Bukankah kaya itu dengan memiliki banyak harta. Akan tetapi kaya (sebenar) adalah kekayaan hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan konteks yang lebih luas, saya tertarik dengan tulisan bertajuk Beauty Pays yang ditulis oleh seorang ahli ekonomi Daniel Hamermesh.

Menurut kajian beliau menerusi data-data yang diperoleh daripada beberapa buah negara serta merentasi pelbagai budaya, mendapati sifat kecantikan seseorang itu mempunyai kaitan secara langsung dengan kejayaan sesebuah syarikat berbanding dengan syarikat yang kurang mengambil pekerja yang cantik.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu ditemu bual akhbar New York Times, beliau berkata, “menjadi kelaziman pelanggan akan memilih jurujual yang cantik dan menarik, para juri akan terpengaruh dengan pendakwa atau pembela yang segak dan menawan di dalam mahkamah, pengundi juga akan mengundi calon-calon yang lawa dan bergaya serta para pelajar berminat dengan pensyarah yang sedap ditengok pada pandangan mata.”

Tambah beliau, kecantikan seseorang itu menjadi kelebihan berbanding dengan orang biasa kerana menerima lebih banyak senyuman serta ramai yang datang membantu sewaktu susah.

Adalah jelas kajian ini menunjukkan kepada kita betapa besarnya kuasa pandangan mata terhadap impak ekonomi dan sosial.

Cantik

Pun begitu, pandangan tersebut disanggah oleh kebanyakan pakar psikologi kerana beranggapan penilaian berkenaan adalah tidak adil bagi mereka yang tidak dikurniakan kecantikan daripada Penciptanya.

Menurut perspektif psikologi, kita harus menerima seseorang itu tanpa syarat dan perlu menghargai segala bakat dan nilai-nilai yang positif yang ada dalam diri mereka.

Bagaimanapun, bagi mereka yang cantik, bukannya mudah untuk kekalkan kecantikan dan boleh menjadikan diri mereka murung dan rendah harga diri sekiranya kecantikan mereka mula pudar.

Pada hemat saya, isu pandangan mata ini cukup besar impaknya kepada kehidupan seharian.

Apa yang jelas isu rasisme yang berlaku di Amerika Syarikat sehingga lahirnya gerakan ‘Black Lives Matter’ adalah disebabkan kita tidak melihat secara adil bagi keseluruhan aspek.

Natijahnya, hampir kebanyakan negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk mula menggerakkan usaha menuntut hak dan keadilan. Selain itu, penularan gerakan ini sudah melibatkan isu-isu yang lebih besar seperti perbezaan status, jurang ekonomi dan sosial.

Persoalannya, sejauh mana kita boleh mendidik diri kita dan masyarakat agar menjauhi pandangan mata dan lebih kepada pandangan hati dalam menguruskan soal kehidupan? Jawapannya, amat sukar.

Hakikatnya, selagi kita bertuankan diri dan lupa bahawa kita sebenarnya ada Tuan yang sentiasa mengawasi, selagi itulah kita gagal membuat pertimbangan dengan hati.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis