Terengganu laksana pemakaian patuh syariah atlet sukan

Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi Wan Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet sukan bermula 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu bagi memastikan aspek sukan di negeri ini bertepatan dengan tuntutan agama Islam.

Menurutnya, ia juga selaras dengan dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tonggak utama pentadbiran.

"Pas meletakkan Islam sebagai asas, oleh itu, semua perkara atau pelaksanaan aktiviti perlu mematuhi syariah termasuk dalam aspek sukan.

"Kita telah melantik mufti negeri (Datuk Dr Zulkifly Muda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi memberi nasihat dan panduan dalam semua aspek pelaksanaan termasuk pakaian atlet dan jenis sukan kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di luar sidang Dun di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai permulaan, semua pemain bola sepak beragama Islam yang bernaung dibawah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dikehendaki memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam sebarang kejohanan.

Katanya, ia termasuk dalam setiap kejohanan sama ada di dalam atau luar negeri pada musim depan.

"Bagi atlet bukan Islam pula, tiada paksaan dan terpulang kepada mereka untuk pakai mengikut keselesaan mereka. Tetapi, kita galakkan mereka memakai pakaian mematuhi syariah.

"Selain itu, peraturan ini hanya tertakluk kepada atlet Terengganu sahaja. Bagi atlet dari luar yang datang ke Terengganu, mereka boleh berpakaian mengikut peraturan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: