X

Kindly register in order to view this article
!

Padah letak barang perniagaan di tempat awam

Antara barangan yang dirampas dalam operasi bersepadu dijalankan MDHS bersama beberapa agensi.
A
A

HULU SELANGOR - Tindakan seorang peniaga kedai runcit di Bukit Sentosa di sini meletakkan barang perniagaannya di tempat awam hingga mengundang kacau ganggu dan masalah kebersihan menerima padah apabila kesemua barangan tersebut dirampas Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Bahagian Korporat MDHS menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan diambil ketika operasi penguatkuasaan premis perniagaan dijalankan bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Menurut kenyataan itu, dalam operasi bermula jam 10.30 pagi itu sebuah kedai runcit turut disita selepas didapati berniaga secara haram tanpa lesen perniagaan.

Pihak majlis terpaksa memotong rak besi yang diletakkan di luar premis menggunakan mesin gergaji.
Pihak majlis terpaksa memotong rak besi yang diletakkan di luar premis menggunakan mesin gergaji.

“Majlis mengambil tindakan menyita barangan yang diletakkan di kaki lima kedai runcit tersebut di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Pihak majlis terpaksa memotong rak besi yang diletakkan di luar premis menggunakan mesin gergaji," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam operasi sama, pihak majlis turut menyita sebuah lagi premis kedai runcit di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa yang didapati tidak mempunyai lesen perniagaan.

"Ketika serbuan di premis kedua, pintu kedai dikunci namun terdapat pekerja masih berada di dalam premis.

"Anggota penguat kuasa kemudian bertindak memecah masuk premis dengan memotong kunci dipasang pada pintu berkenaan menggunakan peruntukan Undang-undang Kecil 35 dan 36 (1), Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

Anggota penguat kuasa terpaksa memecah masuk dengan memotong kunci dipasang pada pintu premis berkenaan.
Anggota penguat kuasa terpaksa memecah masuk dengan memotong kunci dipasang pada pintu premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat dua warga Indonesia yang mengaku sebagai pekerja menyorok di dalam premis berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, hasil keseluruhan operasi, MDHS menyita 38 barang termasuk penimbang digital, mesin kira-kira, parang, mesin parut kelapa, tong ais, tong gas dan rak besi.

“Walaupun masih di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), MDHS akan sentiasa komited dalam memastikan para peniaga mematuhi syarat-syarat berniaga yang ditetapkan dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan selaras dengan arahan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf