Mana ada SPR 'rabun', 'buat-buat tak nampak'

Azhar (dua, kiri) hadir melawat pengundi-pengundi membuang undi ketika Undi Awal di Balai Polis Brinchang hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Azhar (dua, kiri) hadir melawat pengundi-pengundi membuang undi ketika Undi Awal di Balai Polis Brinchang hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan 'rabun' dan 'buat-buat tak nampak' berhubung kesalahan dan pelanggaran peraturan dalam PRK Cameron Highlands.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, sebaliknya SPR sudah membuat apa yang termampu di bawah bidang kuasanya.

"Kita sebenarnya dah buat yang terdaya ikut kuasa sedia ada di bawah undang-undang diberikan kepada SPR. Semuanya saya sudah buat, beri maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis.

"Nasihat dan amaran pun saya dah keluarkan. Akujanji pun saya dah berikan dan ditandatangani semua pihak, itu saja yang saya boleh buat," katanya kepada media selepas meninjau proses pengundian awal di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa SPR ‘rabun serius dan tak nampak’ pelanggaran peraturan pilihan raya dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.

Menurut Annuar, banyak kesalahan sudah berlaku dan ‘kantoi’ namun suruhanjaya tersebut ‘tidak nampak’ apa yang berlaku.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, bidang kuasa SPR hanya boleh diperluaskan jika ada peruntukan undang-undang baharu.

"Kalau ada pihak yang ingin saya buat lebih seperti menyiasat, menangkap dan sebagainya, mereka yang kata demikian sepatutnya pergi ke Parlimen. Suruh ahli-ahli Parlimen luluskan undang-undang baharu.

Artikel Berkaitan:

"Undang-undang sekarang tiada peruntukan demikian. Tapi pokok pangkalnya sekiranya undang-undang itu beri kuasa kepada saya, saya akan laksanakan," katanya.

Katanya, beliau tidak mahu melanggar undang-undang hanya kerana mahu bertindak di luar bidang kuasanya.

"Kalau saya buat perkara yang tak ikut undang-undang atau bukan kuasa saya, maka perbuatan saya haram. Saya boleh ditangkap oleh polis.

"Jadi bagaimana? Adakah rakyat ingin saya buat benda-benda yang salah?," soalnya.