Pusat spa, urut kaki dibenar operasi mulai 1 Julai

Pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai ini. - Foto 123RF
Pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini membenarkan pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki untuk beroperasi semula mulai 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi pusat itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

"Bagaimanapun, hanya pekerja warga Malaysia dibenarkan untuk bekerja di premis tersebut. Mereka juga perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan beroperasi.

"Pengunjung perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi usaha pemantauan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Menurutnya, turut dibenarkan dibuka semula ialah Mesyuarat, Insentif, Persidangan & Pameran (MICE) dan pameran pelancongan serta perdagangan mulai 1 Julai ini.

"Bagi industri MICE, hanya 250 orang dibenarkan pada satu-satu masa dan semua pengunjung perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran masuk.

“Pihak penganjur perlu memastikan SOP seperti pendaftaran pengunjung dan pemeriksaan suhu badan, pengawalan keluar masuk pengunjung serta jarak sosial dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju membenarkan ‘fitting’ pakaian dan kasut di premis menjual produk-produk tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Cuma untuk kasut yang hendak dibeli (dan dicuba), digalakkan untuk menggunakan stokin sendiri sebelum membeli, jangan stokin yang dikongsi di kedai menjual kasut,” katanya.

Katanya, kedai jahit juga sebenarnya telah dibenarkan dibuka sejak awal lagi bersama kedai pakaian dan kekeliruan yang timbul menyebabkan ramai tukang jahit tidak beroperasi.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menarik balik lesen peniaga di pasar malam dan pasar pagi yang tidak memakai penutup mulut dan hidung

Menurutnya, walaupun Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 tidak mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung kecuali mereka bergejala, ia adalah SOP yang ditetapkan PBT sebelum membenarkan peniaga pasar beroperasi.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengehadkan kapasiti pengunjung di rumah inap, Ismail Sabri berkata, tiada had yang ditetapkan jika rumah inap tersebut luas, namun amalan jarak sosial perlu dikekalkan.

Katanya, tiada had maksimum ditetapkan memandangkan setiap unit inap desa mempunyai keluasan tersendiri. - Bernama