Jumlah kes aktif Covid-19 kini bawah 200

DR NOOR HISHAM. Foto: Bernama
DR NOOR HISHAM. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Genap 17 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu, kes aktif koronavirus (Covid-19) dan sedang dirawat di hospital kini di bawah 200 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan adalah 191 kes.

Tambahnya, kes harian juga telah mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun.

"Malahan kes harian penularan di dalam negara di kalangan rakyat tempatan kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, jika dibandingkan, kadar penyembuhan kes Covid-19 iaitu 96.4 peratus adalah di antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

"Selain itu, kadar kematian Covid-19 di negara ini juga merupakan di antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus," katanya.

Beliau berkata, tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan sejak 12 hari yang lalu.

"Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 semakin menurun setiap hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, pendekatan kerajaan dalam implementasi PKPP adalah sebagai sebahagian daripada tindakan pemulihan (soft landing) iaitu untuk menyediakan negara bagi strategi keluar (exit strategy).

"Jika dilihat statistik seperti di atas, ianya sememangnya memberangsangkan dan memberi keyakinan untuk lebih banyak pembukaan semula pelbagai sektor bagi mempertingkatkan ekonomi negara secara tersusun," katanya.

Tambahnya, pematuhan individu, syarikat dan komuniti kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan telah turut menyumbang kepada pencapaian tersebut.

"SOP ini disediakan dengan rundingan bersama pelbagai pemegang taruh agar ianya seimbang iaitu dengan mengambil kira faktor keselamatan rakyat, nyawa dan juga mata pencarian.

"Pihak KKM ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia di atas kerjasama dengan pihak kerajaan bagi pencapaian ini dalam usaha kita sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, peperangan menghadapi virus Covid-19 masih belum tamat.

"Masyarakat disarankan agar kekal berwaspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia," katanya.