Sekolah tahfiz dibenar operasi semula

Semua sekolah itu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan KPM dan bagi madrasah yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.
Semua sekolah itu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan KPM dan bagi madrasah yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar dibenarkan beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua sekolah itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KPM dan bagi madrasah yang mempunyai kemudahan asrama perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.

“Jadi kepada sekolah tahfiz, tidak perlulah membangunkan SOP mereka sendiri tetapi hanya perlu merujuk dan mengguna pakai SOP yang telah ditetapkan oleh KPM.

“Bagaimanapun, bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk membenarkan pusat tuisyen, sekolah pendidikan khas dan institusi pendidikan swasta untuk beroperasi.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian berkenaan tarikh dan SOP akan diumumkan oleh KPM.

Ismail Sabri berkata, surau sekolah juga diberi kebenaran untuk digunakan sewaktu sesi persekolahan dengan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk mengadakan jarak sosial.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, polis menahan dan mengenakan kompaun terhadap 17 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

Pada masa sama, enam warga asing turut ditahan dalam Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen, katanya.

Mengenai proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin, Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan telah menghantar lebih 2,500 orang pulang ke Indonesia, manakala 4,200 lagi dalam proses untuk dihantar pulang.

“Di Sabah pula, seramai 672 pendatang tanpa izin Indonesia telah dihantar pulang, manakala 5,280 pendatang tanpa izin Filipina akan dihantar pulang ke negara asal mereka mulai 30 Jun ini,” katanya. - Bernama