UMNO, Muafakat Nasional sokong PN: Annuar

Annuar (tengah) di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana di sini hari ini.
Annuar (tengah) di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang perbincangan berhubung pembubaran Parlimen dibuat UMNO buat masa ini memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan stabil dan semakin diterima rakyat, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, isu pembubaran itu pernah dibangkitkan secara rasmi oleh UMNO sewaktu proses pembentukan kerajaan baharu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menyandang jawatan Perdana Menteri Interim.

"(Namun) selepas Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) melaksanakan tanggungjawab dengan melantik Perdana Menteri dan kerajaan baharu iaitu PN yang berfungsi dengan baik, pada saya tidak berbangkit membubarkan Parlimen.

"Saya lihat kerajaan sekarang mantap dengan jumlah sokongan dan kerusi semakin bertambah termasuk ada yang menyeberang sokong PN jadi isu ketidakstabilan tidak berbangkit," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera membubarkan Parlimen susulan ketidaktentuan politik semasa.

Mohamad menerusi kenyataannya semalam berkata, ketidakstabilan politik semasa menyukarkan kerajaan untuk meluluskan pelbagai rang undang-undang yang kritikal termasuklah membentangkan belanjawan bagi memulihkan negara daripada kemelesetan ekonomi.

Mengulas perkara itu, Annuar memaklumkan kenyataan dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili pandangan parti.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan, Muafakat Nasional sepakat menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan berpendirian kerajaan perlu fokus dengan agenda rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Segala perkara melibatkan politik berlebihan harus dihentikan supaya kerajaan dapat menumpukan soal pentadbiran dan masalah rakyat

"Rakyat akan keletihan jika orang politik asyik bercakap soal politik sedangkan masalah mereka banyak belum selesai termasuk hilang pekerjaan dan perniagaan. Saya fikir elok kita tumpukan peranan kita sebagai sebuah kerajaan," katanya.

Terdahulu, Annuar merasmikan Pameran Kartun 'Kartunis vs Covid-19' di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Taman Botani Perdana hari ini yang menghimpunkan lebih 100 lukisan terdiri kartunis dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.