'Bubar dulu DUN Johor sebelum Parlimen'

Salahuddin Ayub.
Salahuddin Ayub.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub mencabar Perikatan Nasional (PN) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terlebih dahulu sebelum meneruskan hasrat pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, semakin ramai pemimpin UMNO menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan.

"Oleh kerana mereka ini begitu ghairah untuk PRU diadakan, saya ingin mencabar mereka memulakan langkah ini di Johor.

"Mereka menyebut tentang ketidakstabilan situasi politik negara sebagai alasan untuk mengadakan PRU, maka langkah ini harus bermula di Johor ekoran kemelut politik di negeri itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan meminta Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan berikutan ketidaktentuan politik semasa yang dihadapi pada ketika ini.

Gesaan itu turut disokong Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpandangan PRU15 harus diadakan seawal tahun depan bagi memulihkan kestabilan politik di Malaysia.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, justeru beliau berharap UMNO dan Bersatu tidak berlengah dan boleh memohon agar DUN Johor dibubarkan pada bila-bila masa sahaja.

Sebelum ini, dilaporkan kemelut politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di Johor masih tergantung dan belum menemui titik penyelesaian muktamad.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya dan turut meminta kerjasama antara dua parti dieratkan dengan keputusan dibuat perlulah menghormati semua parti di dalam PN.

Pada 3 Jun pula, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda susulan kemelut politik yang masih berlanjutan di negeri itu dan memberi amaran berhubung pembubaran DUN Johor serta-merta jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas berhubung kesediaan Amanah menghadapi PRU15 sekiranya diadakan dalam masa terdekat, Salahuddin berkata, parti sudah bersedia.

"Kita telah bersedia," katanya kepada Sinar Harian.