Kes denggi, Chikungunya meningkat di Pulau Pinang

Kes denggi di Pulau Pinang meningkat 34.78 peratus pada minggu ke-25 berbanding minggu lalu. - Foto 123RF
Kes denggi di Pulau Pinang meningkat 34.78 peratus pada minggu ke-25 berbanding minggu lalu. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Kes denggi di Pulau Pinang meningkat 34.78 peratus pada minggu ke-25 berbanding minggu lalu menunjukkan berlaku trend peningkatan kes itu.

Sebanyak 31 kes dilaporkan sepanjang tempoh 14 hingga 20 Jun (minggu ke-25) berbanding 23 kes pada minggu ke-24 (7 hingga 13 Jun) lalu.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak lapan kes sejak minggu lalu.

"Secara kumulatif sehingga 20 Jun lalu, 441 kes denggi dilaporkan berbanding 2,969 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 iaitu, penurunan sebanyak 2,528 kes (85.15 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, satu kematian direkodkan pada minggu ke-25 bagi tahun ini berbanding lapan kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Norlela berkata, sehingga 23 Jun lalu, lapan lokaliti wabak aktif di daerah Timur Laut telah dikenal pasti.

"Satu lokaliti hotspot di Taman Air Itam dan satu lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Desa Baiduri, manakala enam lokaliti wabak terkawal membabitkan Kampung Sulup, Solok Free School, Jalan Lim Lean Teng; Medan Angsana, Jalan Angsana dan All Season Park Condo," katanya.

Sementara itu, Dr Norlela memberitahu, sebanyak 297 kes Chikungunya di laporkan sehingga 20 Jun lalu, berbanding 292 kes dilaporkan minggu lalu. Pada ketika ini, terdapat tiga lokaliti hotspot iaitu di Flat Padang Tembak, Lorong Sempadan dan Taman Air Itam.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, terdapat 23 lokaliti wabak terkawal di Daerah Timur Laut termasuk Tanjung Court, Kampung Pisang, Desa Baiduri, Kampung Jalan Perak, Tingkat Lembah Ria, Taman Free School dan Green Garden manakala satu lokaliti di daerah Barat Daya iaitu Changkat Sungai Ara turut dikesan," katanya.