Mahkamah Syariah Perak perkenal ePayment bermula 1 Julai

Asa'ari menyempurnakan gimik pelancaran ePayment yang akan diguna pakai di seluruh mahkamah syariah di Perak bermula 1 Julai.
Asa'ari menyempurnakan gimik pelancaran ePayment yang akan diguna pakai di seluruh mahkamah syariah di Perak bermula 1 Julai.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Negeri Perak akan memulakan inisiatif pembayaran tanpa tunai ePayment bagi semua jenis perkhidmatan di kaunter seluruh negeri bermula 1 Julai ini.

Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa'ari Mohd Yazid berkata, pelaksanaan dengan kerjasama Bank Islam itu menjadikan negeri ini perintis selaras dengan Pelan Strategik e-Pembayaran Sektor Awam(PSPSA).

"Ia juga sebagai usaha kita menyediakan tambahan mod bayaran melalui penggunaan kad debit, kad kredit dan lain-lain melalui pelbagai saluran bayaran antaranya perbankan internet dan pembayaran mudah alih seperti jom pay dan snap pay.

"Jadi selepas ini, sebarang pembayaran sama ada pendaftaran kes atau hukuman denda bersabit kes khalwat, judi, minuman keras dan sebagainya bolehlah dibuat secara ePayment tanpa perlu berurusan secara tunai di kaunter," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ePayment sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini hari ini.

Asa'ari berkata, perkhidmatan tunai di semua sembilan mahkamah syariah di negeri ini masih diteruskan, namun pihaknya menggalakkan orang ramai menggunapakai kaedah baru itu bagi mengurangkan risiko pengurusan tunai di kaunter.

"Mahkamah Syariah Perak merupakan mahkamah syariah pertama di Malaysia yang melaksanakan perkhidmatan ePayment ini.

"Walaupun sudah ada jabatan-jabatan lain yang mendahului, belum terlewat untuk kita melaksanakannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Noor Jab berkata, ePayment ditawarkan melalui tiga perkhidmatan iaitu jom pay, snap pay dan mesin terminal bayaran.

"Kaedah ePayment ini bukan perkara baru, namun sejak berlakunya wabak koronavirus (Covid-19), kita dapati penggunaan secara atas talian adalah meningkat.

"Dengan kaedah ini, sistem pembayaran yang dilakukan adalah lebih selamat dan terjamin," katanya.