Rais minta Tok Mat duduk bersama dalam saf PN

Paparan ciapan Twitter Rais.
Paparan ciapan Twitter Rais.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Tan Sri Dr Rais Yatim meminta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan duduk bersama dalam saf kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, perkara itu sepatutnya dilakukan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat dan bukannya mendesak kerajaan membubarkan Parlimen segera seperti yang dilakukan negara jiran, Singapura.

Katanya, Tok Mat juga seharusnya tidak mudah lupa di mana kedudukan partinya sebelum terbentuknya kerajaan PN.

"Bersamalah dalam saf PN. Muafakat baik-baik biar kuasa sama digenggam.

"Jangan lupa siapa kita sebelum ini," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - UMNO minta Perdana Menteri bubar Parlimen

Ciapan beliau itu dilihat sebagai maklum balas kepada kenyataan Mohamad semalam yang menyarankan kerajaan PN membubarkan Parlimen tanpa berlengah sebagaimana dilakukan Singapura.

Mohamad berkata, pembubaran Parlimen itu untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan berikutan ketidaktentuan politik semasa.

Menurutnya, situasi ketidakstabilan politik yang dihadapi sekarang tidak pernah dilalui sejak negara merdeka.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mohamad menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencontohi langkah diambil Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang membubarkan Parlimen republik itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai 2020 bagi memastikan kerajaan mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, faktor yang ada di Malaysia dan Singapura jelas berbeza dari segi keutamaan negara, kewilayahan, capaian, 'kedirajaan', ekonomi dan lain-lain.

"Takkan terus nak ikut Singapura dalam perjuangan Malaysia, adinda Tok Mat," kata beliau.