Sarawak sentiasa menjadi tumpuan MOTAC

Nancy (kanan) menerima cenderahati daripada Abdul Karim, malam tadi. - foto Bernama
Nancy (kanan) menerima cenderahati daripada Abdul Karim, malam tadi. - foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak diletakkan dalam senarai utama pembangunan infrastruktur pelancongan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebuah jawatankuasa dipengerusikan ketua setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Dr Noor Zari Hamat telah melawat beberapa projek pelancongan yang sedang dijalankan di sekitar bandar raya ini.

”Antaranya projek pembangunan Jejak Warisan dari Kampung Bintangor ke Esplanade, Kuching dan projek reka bentuk dan pembangunan produk kraftangan Sarawak,” katanya ketika berucap pada jamuan malam bersama penggiat industri pelancongan negeri, di sini malam tadi.

Katanya, beliau telah membentangkan pelbagai projek pelancongan yang dilaksanakan di negara ini pada mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) di sini semalam.

“Ini membuktikan Sarawak sentiasa berada dalam senarai keutamaan kementerian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri akan meneruskan Kempen Melawat Sarawak (VSC) 2019 dengan tumpuan terhadap lima tema utama iaitu kebudayaan, pengembaraan lasak, alam semula jadi, makanan dan perayaan (CANFF).

“Selain melanjutkan VSC 2019, kempen baharu pasca-Covid-19 dengan tagline ‘Rediscover Yourself In Sarawak’ dianjurkan untuk pasaran pelancongan domestik dengan seruan menerapkan amalan norma baharu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: