Penantian tiga dekad Liverpool berakhir

The Reds kini mendahului 23 mata EPL dengan berbaki tujuh perlawanan.
The Reds kini mendahului 23 mata EPL dengan berbaki tujuh perlawanan.
A
A
A

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp optimis skuad kendaliannya yang mengakhiri kemarau 30 tahun kejuaraan liga utama Inggeris mampu memacu lebih kejayaan gemilang buat penyokong-penyokong setia The Reds pada masa depan.

Menurut pengendali berusia 53 tahun itu, kejayaan membawa pulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan ke bumi Anfield menjadi pencetus kebangkitan untuk The Reds mencipta lebih banyak sejarah buat kelab sarat tradisi kejuaraan Inggeris tersebut.

"Sejujurnya saya dan pemain Liverpool belum puas dengan pencapaian sekarang sebaliknya mahu terus memburu lebih banyak kejuaraan pada masa depan.

"Pencapaian diperolehi pemain-pemain Liverpool sepanjang dua atau tiga tahun ini cukup amat mengagumkan dan saya amat seronok dapat bekerjasama dengan mereka selama ini.

"Suasana positif di Anfield juga cukup amat menggembirakan sejak hari pertama saya tiba di sini sehingga kini, biarpun begitu perjalanan untuk mencipta sejarah belum berakhir.

"Liverpool mampu mencipta lebih banyak kejayaan untuk beberapa tahun lagi yang bertitik tolak dengan kejuaraan pada malam ini," katanya yang menyertai kem Liverpool pada 2015.

Liverpool mengesahkan kejuaraan liga selepas pencabar terdekat yang juga juara musim lalu Manchester City tewas 2-1 kepada Chelsea di Stamford Bridge awal pagi tadi sekali gus menyaksikan The Reds kini mendahului 23 mata dengan berbaki tujuh perlawanan.

Pada masa sama bekas pengendali gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund itu mendedikasi liga berkenaan istimewa buat penyokong-penyokong setia Liverpool.

Artikel Berkaitan:

"Malam ini untuk penyokong-penyokong Liverpool di luar sana kerana ia satu kepuasan melakukannya untuk anda. Ini detik besar, paling indah buat semua dan saya kehilangan kata-kata," katanya.