Pesakit kanser payudara antara dicekup AADK

Antara individu ditahan dalam operasi AADK Kuala Muda sekitar Kuala Muda.
Antara individu ditahan dalam operasi AADK Kuala Muda sekitar Kuala Muda.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang wanita yang menghidap penyakit kanser payudara antara 58 individu ditahan dalam Ops Total Enforcement (TE) 11 yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda sejak Isnin lepas.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan di 19 lokasi sekitar daerah Kuala Muda yang melibatkan 25 anggota dan pegawai AADK Kuala Muda termasuk tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani.

Menurutnya, hasil soal siasat wanita yang mempunyai dua anak berusia enam bulan dan tiga tahun itu mengaku terlibat dalam penagihan dadah sejak berusia 16 tahun.

"Wanita itu disahkan menghidap kanser payudara tahap dua dan ketika serbuan suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arnida berkata, kesemua suspek yang melibatkan 55 lelaki dan tiga wanita kemudiannya dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda.

"Hasil saringan air kencing, 34 individu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan 16 individu lagi positif dadah jenis morphine," katanya.

Beliau berkata, seramai 50 individu berusia 15 hingga 65 tahun disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Katanya, pihaknya melakukan Ops TE 11 dengan menumpukan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) iaitu mukim Sungai Petani, Sungai Pasir dan Semeling dengan menyasarkan Orang Kena Tuduh (OKT) tidak hadir jamin, Aduan Hotline AADK serta Orang Kena Pengawasan (OKP) yang melanggar syarat-syarat pengawasan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama katanya, tujuh OKT yang ditahan dalam serbuan berkenaan diperintahkan menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Kampung Selamat.

"Seramai 16 OKT lagi diperintahkan menjalani pengawasan dalam komuniti selama dua tahun, dua OKT diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena, 13 lagi di reman di Lokap Kuala Muda dan 12 orang diberi jamin bersyarat," katanya.