Mexico siasat insiden letupan saluran paip minyak

Pemandangan udara di lokasi kejadian susulan letupan saluran paip minyak di Tlahuelilpan, Mexico pada Jumaat lalu. - Foto AFP
Pemandangan udara di lokasi kejadian susulan letupan saluran paip minyak di Tlahuelilpan, Mexico pada Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

MEXICO CITY - MEXICO.Kerajaan Mexico kini menjalankan siasatan ke atas insiden letupan saluran paip minyak haram di Hidalgo yang setakat ini mengorbankan 91 nyawa.

Peguam Negara Alejandro Gertz berkata, punca sebenar insiden yang berlaku di bandar Tlahuelilpan terletak di Hidalgo, Jumaat lalu masih belum diketahui, dan pihaknya akan menyiasat segenap aspek termasuk kemungkinan kecuaian oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

"Garis masa kejadian harus ditentukan dengan jelas, dan kami akan bercakap dengan semua pihak yang berkenaan.

"Siasatan turut akan melibatkan pegawai daripada kementerian pertahanan, pasukan polis, syarikat minyak negara Petroleos Mexicanos (Pemex), kerajaan negeri Hidalgo serta pejabat pendakwaan," kata Gertz dalam satu sidang media.

Menurut Gertz lagi, siasatan turut dijalankan bagi mengetahui sama ada terdapat individu atau ahli geng jenayah yang menjadikan kecurian bahan api sebagai industri 'lumayan' di Mexico terlibat dalam insiden terbabit.

Ketika kejadian, hampir 700 penduduk dipercayai berebut-rebut mendapatkan minyak 'percuma' daripada saluran paip haram terbabit yang mengalami kebocoran, pihak tentera yang berada di lokasi kejadian pula dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan bagi mengawal keadaan.

Sementara itu, Gabenor Hidalgo, Omar Fayad memaklumkan, angka kematian mencecah 91 orang berikutan kematian dua lagi mangsa di hospital.

"Terdapat 52 lagi mangsa yang sedang dirawat di hospital, kebanyakkan mereka berada dalam keadaan serius," kata Fayad lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihak berkuasa berkata, proses mengenal pasti mangsa akan mengambil masa lama berikutan keadaan mayat yang rentung.

Tragedi berlaku di saat kerajaan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador mengumumkan usaha memerangi kecurian minyak yang menyebabkan Mexico menanggung kerugian berjumlah AS$3 bilion (RM12.3 bilion) pada 2017. - AFP