X

Kindly register in order to view this article
!

Mandat rakyat, mandat suci

A
A

Mandat adalah kepercayaan bermuara daripada keyakinan dan amanah yang diberi kepada seseorang. Apabila seseorang itu dimandatkan atau diberi mandat bermakna ia membawa amanah dan pertanggungjawaban daripada yang memberi mandat. Mandat rakyat adalah suci kerana ia membawa harapan agar mandat yang diberi menjadi wahana menguruskan khazanah negara untuk kesejahteraan rakyat. Ia merupakan amanah yang perlu ditatang dengan penuh kesedaran. Pengkhianatan terhadap mandat rakyat adalah sinonim dengan pengkhianatan kepada amanah yang akhirnya akan dipertanggungjawabkan kepada Rabbul Jalil.

Dalam hal ini bila rakyat memberi mandat kepada seseorang dalam pilihan raya bermakna mandat itu menjadi alasan meneruskan kedudukan yang diberi sebagai wakil rakyat. Tanpanya terbatal keabsahan seorang wakil rakyat untuk kekal sebagai wakil rakyat walaupun bertukar wadah. Bila mandat tidak lagi mahu dipikul secara moral ia mesti dikembalikan balik kepada rakyat. Dia tidak berhak untuk mendakwa masih mewakili rakyat pada hal mandat rakyat telah dilepaskan.

Sayang sekali mandat rakyat kini jadi barang mainan. Setelah menang pilihan raya seolah ikatan dan pertanggungjawaban kepada rakyat tidak perlu dipedulikan lagi. Lalu wakil rakyat mengambil sikap dan tindakan sendiri untuk beralih parti atau wakil rakyat menjadi bebas.

Pada hakikatnya mandat adalah ikatan janji antara rakyat dan wakil rakyat. Ia merupakan janji yang dimeterai ketika berpartisipasi dalam pilihan raya. Janji itu membawa erti selagi mana wakil rakyat memenuhi janjinya untuk berkhidmat atas nama mandat rakyat, maka ia terus diterima untuk merangkul tanggungjawab. Tetapi apabila mengubah pendirian dan mengalih wadah daripada mandat yang diberi, maka jawatan wakil rakyat sudah tidak dapat diabsahkan lagi. Dalam erti kata lain, jawatan wakil rakyat perlu dikosongkan.

Memulangkan mandat balik kepada rakyat adalah kewajaran yang tidak boleh dielakkan. Amanah yang diberi telah dikhianati. Tidak mungkin segala kemudahan yang dinikmati atas nama wakil rakyat diteruskan padahal mandat rakyat telah dilepaskan. Wakil rakyat yang jujur tidak perlu ditambat dengan ikat janji dan bai'ah jika berpaling tadah. Benaknya sendiri harus menjadi panduan kepadanya untuk menyerah kembali mandat yang tidak lagi dipikul. Malah menyerah kembali mandat adalah lambang kemurnian jiwa seorang pemimpin apabila tidak lagi mampu membeban amanah.

Kuasa

Malangnya politikus kini nampaknya dengan mudah mempermainkan mandat. Sedangkan satu-satunya yang ada pada rakyat adalah mandat. Sedapat boleh mandat ini perlu dihargai dengan sepenuh jiwa dan raga. Kerana kuasa rakyat dianggap keramat bukan disebabkan adanya kuasa ghaib di tangan rakyat akan tetapi adalah kerana pemimpin mendapat kuasa berpunca daripada rakyat.

Mandat rakyat merangkumi persoalan menguruskan nasib rakyat terpinggir, membangun kualiti hidup rakyat, membela rakyat terlantar dan dianiayai, mengangkat nasib golongan kurang upaya, membantu rakyat berpendapatan rendah, memperjuangkan untuk mereka yang lemah seperti buruh, pekerja, petani, nelayan, pendatang miskin.

Semua ini diuar-uarkan dalam manifesto pilihan raya. Ia suatu janji, janji yang dipercayai, janji yang akan ditunaikan.

Lalu bila menang atas tiket wadah yang dipertandingkan, nampaknya mandat rakyat tidak lagi menjadi pengikat. Setiap calon yang menyatakan komitmen untuk merealisasikan manifesto, seolah-olah merasai tidak ada hubungan lagi dengan rakyat. Lalu perhitungan untuk merebut peluang meraih posisi lebih selesa dan lebih selamat menjadi keutamaan. Wakil rakyat lebih mengutamakan apa kedudukan yang lebih menjaminkan masa depan politiknya. Bukan lagi untuk memelihara mandat rakyat.

Dengan yang demikianlah sekarang, gejala lompat parti, isytihar keluar parti dan mengumumkan memilih wadah dan aliran lain seolah-olah suatu yang lazim dalam politik Malaysia. Politik berprinsip, politik bermoral dan politik rakyat sudah menjadi terlalu asing dalam kamus politik dewasa ini. Malah sangat asing dan janggal jika ada yang memilih politik yang benar dan politik yang menegakkan kebenaran.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!