Usul pilih Speaker boleh cetus PRU15

Noh (kiri) sewaktu sesi wawancara khas bersama Sinar Harian kelmarin. -Foto: MOHD IZARI ROSLI
Noh (kiri) sewaktu sesi wawancara khas bersama Sinar Harian kelmarin. -Foto: MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

AHLI Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar minggu lalu mencetuskan kontroversi gara-gara melepaskan jawatan selepas 17 hari menjadi Pengerusi MISC Berhad.

Bagaimanapun, Noh dalam wawancara bersama Sinar Harian memberitahu, tindakan beliau itu semata-mata demi memberi tumpuan kepada rakyat. Alasan tersebut mungkin ada benarnya selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga pemimpin UMNO Selangor itu membayangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dekat.

Dalam wawancara itu, Noh turut mencongak peluang Muafakat Nasional untuk merampas semula negeri Selangor daripada tangan kerajaan Pakatan Harapan.

SINAR HARIAN: Desas-desus mengenai PRU15 telah bertiup kencang malah ada yang meramalkannya pada November ini atau awal tahun depan. Apakah pandangan Tan Sri?

NOH: Bagi saya, pembubaran Parlimen ditentukan oleh dua orang ini iaitu Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Jadi, biarlah mereka yang ada kuasa itu menentukannya. Sekiranya keadaan politik kurang stabil, kenapa tidak kita serahkan balik mandat kepada rakyat?

Ini pendirian kita (Barisan Nasional). Saya ingin mengimbas peristiwa sewaktu ahli-ahli Parlimen BN dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Februari lalu. Kami sebulat suara mahu Parlimen dibubar. Pada masa itu, kita dengar wujud tiga kumpulan. Satu kumpulan nak bubar Parlimen, satu kumpulan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri dan satu kumpulan lagi nak Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri. Akhirnya, tiada siapa yang layak jadi Perdana Menteri.

Tetapi Seri Paduka tidak bubarkan Parlimen. Bayangkan kalau semasa dua bulan krisis politik itu berlaku dan Parlimen dibubar, tiba-tiba wabak Covid-19 (koronavirus) tercetus, apa akan terjadi kepada negara kita? Bila tidak bubar Parlimen, maka kita pun bersetuju memberi mandat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kalau tanya saya bila patut dibubar Parlimen, sebagai ahli Parlimen, kita akan tengok persidangan pada Julai depan. Ujian pertama saya nampak adalah pada pemilihan Speaker baharu Dewan Rakyat. Adakah Speaker yang ada hari ini kita akan dikekalkan atau tidak? Saya pun tak tahu. Saya nampak usul untuk memilih Speaker ini tidak boleh dielak kerana salah seorang Timbalan Speaker masih daripada parti DAP iaitu Nga Kor Ming.

Artikel Berkaitan:

Bila usul untuk pilih Speaker itu nanti timbul, saya rasa pembangkang juga akan ada calon daripada mereka. Ini pernah berlaku pada 2008. Pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang, perkara ini mungkin berlaku lagi. Mahu tidak mahu tetap akan ada pengundian untuk memilih Timbalan Speaker.Di situ nanti kita boleh tahu sama ada calon daripada kerajaan Perikatan Nasional akan menang ataupun calon pembangkang Pakatan Harapan (PH) terpilih.

Kalau calon kerajaan menang, bermakna kerajaan mendapat sokongan majoriti daripada 222 anggota Dewan Rakyat. Tapi kalau sebaliknya berlaku (calon pembangkang PH menang), ini bermakna kita kena bubar Parlimen.

Apakah perancangan Tan Sri bagi merampas semula kerajaan negeri Selangor daripada PH?

Di Selangor, semangat Muafakat Nasional bermula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis apabila UMNO bekerjasama dengan Pas. Tapi kita kalah ketika itu.

Kemudian, dalam PRK DUN Seri Setia pun UMNO bekerjasama dengan Pas. Kita beri laluan Pas bertanding, pun kita kalah. Mungkin masa itu semangat ini belum betul-betul sepasukan.Tetapi pada PRK DUN Semenyih, terbukti gelombang perubahan rakyat Selangor telah memberi kemenangan luar biasa kepada Muafakat Nasional. Kalau semangat kebangkitan itu boleh dibawa ke seluruh Selangor, saya yakin Muafakat Nasional boleh dapat negeri Selangor, insya-ALLAH.

Noh (kiri) sewaktu sesi wawancara khas bersama Sinar Harian kelmarin. -Foto: MOHD IZARI ROSLI
Noh (kiri) sewaktu sesi wawancara khas bersama Sinar Harian kelmarin. -Foto: MOHD IZARI ROSLI

Berapakah sasaran jumlah kerusi DUN yang mahu ditawan kembali di Selangor?

Untuk tawan Selangor, minimum Muafakat Nasional kena dapat 29 kerusi. Saya kira dalam 32 kerusi mungkin boleh dapat kalau semangat Muafakat Nasional ini betul-betul kita bawa. Mengenai agihan kerusi mengikut parti, itu saya kena tunggu arahan daripada pimpinan atasan sebab kita tidak tahu kita akan bertanding atas nama Muafakat Nasional ataupun PN.

Baru-baru ini terdapat ura-ura mengenai Langkah Rawang bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. Apakah komen Tan Sri?

Saya pun tidak tahu Langkah Rawang itu jadi atau tidak. Tetapi andai kata jadi, apakah tujuannya? Kalau betul tujuannya nak tukar Menteri Besar (MB), saya hendak nasihatkan MB sekarang (Datuk Seri Amirudin Shari) letak jawatan sebelum berlaku Langkah Rawang. Hal pembangkang ini kita tidak mahu campurlah. Tapi sebagai pembangkang di negeri Selangor, sudah tentu siapa juga calon PH, kita pasti lawan. Lawan tetap lawan.

Bagaimana tahap kerjasama UMNO dan Pas di Selangor ketika ini?

Alhamdulillah, kerjasama Muafakat Nasional di Selangor cukup baik kerana kita bermula dari bawah. Sebagai contoh, kita mendengar kemungkinan akan diwujudkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang dulu dipanggil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). Selangor ini dulu, satu kampung ada dua ketua. Satu ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri dan satu lagi oleh kerajaan Persekutuan.

Kita semua tahu waktu JKKKP dulu, Selangor ada lebih kurang 401 kampung dengan ketua kampung semuanya daripada UMNO. Tetapi bila kita ada semangat Muafakat Nasional, saya telah minta semua Ketua UMNO Bahagian dan juga Yang Dipertua Pas negeri duduk berbincang bagaimana hendak diagihkan kuota ketua kampung di Parlimen masing-masing.

Saya juga berbesar hati melihat pimpinan UMNO di peringkat bawah juga berjiwa besar. Kalau dulu semua kerusi 401 kampung itu ketuanya adalah orang UMNO, tapi dengan semangat Muafakat Nasional ini, saya terima senarai yang telah ditandatangani dan dipersetujui oleh setiap Ketua Bahagian UMNO dan Yang Dipertua Pas di kawasan masing-masing, agihan kuota ketua kampung untuk UMNO ada lebih kurang 200 kampung dan selebihnya diberikan kepada Pas dan Bersatu.Begitu juga pelantikan penyelaras DUN dan Parlimen, saya rasa 90 peratus sudah bersetuju kedudukan masing-masing di Parlimen dan DUN.

Minggu lalu, Tan Sri meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MISC. Boleh Tan Sri jelaskan mengapa?

Saya masih wakil rakyat dan ahli Parlimen. Jadi sebagai ahli Parlimen, tanggungjawab yang lebih penting adalah membantu rakyat.

Saya perlu menyokong dan memastikan dasar-dasar kerajaan yang telah dibincangkan dalam Parlimen dan diputuskan oleh kerajaan, lebih-lebih lagi saya sudah jadi sebahagian daripada kerajaan. Jadi saya kena pastikan dengan apa cara sekali pun saya membantu hasrat kerajaan terutama selepas musim Covid-19 ini, pelbagai masalah rakyat hadapi.

Jadi Pengerusi MISC, saya tengok benda itu hanya memikirkan keuntungan. Saya kurang dapat menyumbang kepada rakyat. Di MISC, banyak (bisnes) perkapalan antarabangsa, minyak dan gas serta sebagainya. Saya mungkin tidak sesuai untuk jawatan itu.