X

Kindly register in order to view this article
!

Thailand rancang lanjutkan perintah darurat sebulan lagi

Thailand merekodkan jumlah keseluruhan 3,158 kes dengan 58 kematian.
A
A

BANGKOK - Majlis Keselamatan Negara (NSC) Thailand hari ini mengumumkan rancangan untuk melanjutkan tempoh perintah darurat selama sebulan lagi sehingga akhir Julai bagi mengekang gelombang kedua wabak koronavirus (Covid-19) di negara itu.

Walaupun negara berkenaan merekodkan hari ke-31 berturut-turut tanpa jangkitan tempatan Covid-19, Setiausaha Agung NSC, Jeneral Somsak Roongsita berkata, keadaan di seluruh dunia tetap menjadi kebimbangan.

"Memandangkan Thailand akan membuka kembali perniagaan dan tempat berisiko tinggi seperti pusat hiburan dan sekolah bermula 1 Julai, terdapat keperluan untuk mengawal secara berkesan serta mencegah penularan wabak itu sekali lagi dalam negara ini.

"Kita perlu mencegah gelombang kedua Covid-19 di Thailand," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelanjutan perintah darurat berkenaan perlu mendapat kelulusan Kabinet pada Selasa depan.

Perintah darurat akan berakhir pada 30 Jun. Setakat ini, Thailand telah melanjutkan tiga kali perintah darurat.

Perintah darurat pertama kali diisytiharkan bermula 26 Mac hingga 30 April dan dilanjutkan sehingga 31 Mei untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Somsak menegaskan bahawa alasan negara itu melanjutkan tempoh darurat adalah untuk menjaga keselamatan kesihatan.

"Ini tidak ada kena mengena dengan politik," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa pemimpin pembangkang telah menggesa kerajaan supaya menamatkan perintah darurat kerana mendakwa perintah itu memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk menghalang orang ramai berkumpul secara besar-besaran dan mengekang kebebasan yang lain.

Somsak yang mempengerusikan mesyuarat mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah Covid-19 berkata, jawatankuasa itu mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat yang akan berakhir pada 30 Jun.

Thailand merupakan negara pertama di luar China yang melaporkan kes Covid-19 pada 13 Januari.

Negara itu memulakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei iaitu melibatkan enam jenis perniagaan dan tempat dibuka semula manakala fasa kedua bermula 17 Mei dan fasa ketiga pada 1 Jun.

Apabila keadaan Covid-19 dalam negara itu semakin pulih, Thailand melaksanakan fasa pertama pelonggaran sekatan pada 3 Mei, diikuti fasa kedua pada 17 Mei, fasa ketiga (1 Jun) dan fasa keempat (15 Jun) serta fasa kelima dan terakhir pada 1 Julai.

Sementara itu, Thailand melaporkan satu kes Covid-19 baharu dalam tempoh 24 jam iaitu seorang pelajar warganegaranya yang pulang dari Mesir, menjadikan jumlah keseluruhan 3,158 kes dengan 58 kematian. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!