Petronas Yamaha SRT laksana SOP ketat di Litar Jerez

Johan Stigefelt
Johan Stigefelt
A
A
A

PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) tidak mengambil mudah keselamatan pelumba dan kru teknikal bagi menghadapi perlumbaan Motosikal Grand Prix (MotoGP) di Litar Jerez, Sepanyol, bulan depan.

Pengarah pasukan, Johan Stigefelt berkata, biarpun Dorna Sports pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika perlumbaan, pasukan berkenaan juga mempunyai langkah keselamatan tersendiri untuk mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

“Kami akan menghadkan pergerakan di sekitar kotak pit dan cara kami bekerjasama, seiring dengan penggunaan penutup hidung dan mulut, pensanitasi tangan dan sarung tangan.

“Ini antara contoh, banyak lagi perkara yang akan dilaksanakan dan kami mempunyai petugas yang bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Stigefelt berkata, kru teknikal pasukan bekerja keras bagi memastikan semua jentera pelumba yang berada di Sepanyol sedia untuk digunakan, kecuali jentera MotoGP yang akan dibawa dari Jerman, seminggu sebelum perlumbaan berlangsung.

Pengarah pasukan berusia 44 tahun dari Sweden itu berkata, pasukannya bersedia menghadapi cabaran sukar menjelang perlumbaan akan datang termasuk keadaan suhu tinggi di Litar Jerez selain perlumbaan yang berlangsung berturut-turut.

Perlumbaan MotoGP 2020 membabitkan 13 pusingan di Eropah antara Julai dan November dengan potensi empat pusingan di luar negara pada November dan Disember.

Perlumbaan pusingan pertama ini menyaksikan pasukan bertandang ke Sepanyol pada dua hujung minggu iaitu pada 19 dan 26 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: