4,609 kekosongan jawatan ditawar kepada graduan peminjam PTPTN

Ahmad Dasuki (kiri) dan Dr Mohammed Azman (kanan) bertukar MoU yang ditandatangani sambil diperhatikan oleh Noraini (dua dari kiri) dan Saravanan di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Dasuki (kiri) dan Dr Mohammed Azman (kanan) bertukar MoU yang ditandatangani sambil diperhatikan oleh Noraini (dua dari kiri) dan Saravanan di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 4,609 kekosongan jawatan ditawarkan kepada graduan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Virtual Mini Job Hunt For PTPTN Borrowers.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peluang pekerjaan itu ditawarkan oleh 20 majikan selama empat hari program tersebut berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai depan.

Menurutnya, program itu merupakan aktiviti pertama daripada kerjasama yang termeterai bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Program temuduga khas ini dirancang khusus untuk peminjam-peminjam PTPTN yang terdiri dari golongan graduan dan pencari kerja.

"Program temuduga ini dijalankan secara maya dengan calon-calon yang merupakan peminjam,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PTPTN dan Perkeso bersama Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Majlis disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Ahmad Dasuki (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PTPTN dan Perkeso di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Dasuki (kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PTPTN dan Perkeso di Putrajaya. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata, terdapat pelbagai acara menarik diadakan di dalam Virtual Mini Job Hunt.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat sesi ceramah webinar mengenai kebolehpasaran pekerjaan yang berlangsung selama dua hari. Ia akan disampaikan oleh penceramah berpengalaman dari pelbagai latar belakang industri," katanya.

Menurutnya, program itu disusuli dengan temuduga terbuka yang diadakan secara dalam talian.

"Kesemua graduan yang meminjam dengan PTPTN boleh menyertai program ini termasuk mereka yang telah pun bekerja," katanya.

Kerjasama strategik atasi masalah peminjam

Ahmad Dasuki berkata, KPT dan PTPTN memahami isu kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang dihadapi oleh peminjam.

"Sebagai langkah proaktif serta prihatin kepada peminjam, maka langkah kerjasama strategik ini diambil bagi membantu mengatasi masalah mereka," katanya.

Beliau berkata, individu yang berminat boleh membuat pendaftaran bermula 25 Jun sehingga 3 Julai depan di laman web https://careerfair.perkeso.gov.my dan tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan.

Menurutnya, KPT dan PTPTN sentiasa melaksanakan pelbagai pendekatan untuk membantu graduan terutamanya peminjam PTPTN.

"Dengan pendekatan baharu, KPT dan PTPTN berkolaborasi bersama Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso untuk membantu peminjam PTPTN dalam mendapatkan pekerjaan atau kerjaya yang lebih baik, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Ahmad Dasuki berkata, pendekatan melalui inisiatif KPT Prihatin mendengar permasalahan dan keluhan daripada graduan khususnya peminjam PTPTN tanpa mengabaikan kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang pastinya akan menghasilkan situasi menang-menang kepada semua pihak berkaitan.

Katanya, jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan Kementerian Sumber Manusia itu diharap bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada graduan yang merupakan peminjam PTPTN dan pihak majikan, malah mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan politeknik dan institusi pengajian tinggi khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Sementara itu, Dr Mohammed Azman berkata, MoU tersebut membolehkan Portal MyFutureJobs dipromosikan untuk manfaat peminjam PTPTN.

"Portal ini adalah salah satu daripada enam inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilaksanakan dibawah KSM," katanya.