Konsep dapur awan mula bercambah

Khidmat penghantaran makanan secara dalam talian seperti Foodpanda, Deliveroo, Uber Eats dan Grab Food berkembang pesat. -Foto 123rf
Khidmat penghantaran makanan secara dalam talian seperti Foodpanda, Deliveroo, Uber Eats dan Grab Food berkembang pesat. -Foto 123rf
A
A
A

ISTILAH dapur awan (cloud kitchen) atau dark kitchen atau ghost kitchen mungkin masih baharu dalam kalangan kita namun konsep tersebut nampaknya mula memasuki negara secara perlahan-lahan.

Ia wujud kesan daripada pendigitalan perniagaan makanan dan minuman di serata dunia selepas khidmat penghantaran makanan secara dalam talian seperti Foodpanda, Deliveroo, Uber Eats dan Grab Food berkembang pesat.

Konsep berkenaan dilihat semakin bercambah apabila koronavirus (Covid-19) menular di serata dunia. Ramai pengusaha restoran mula mengadaptasi dapur awan bagi memastikan aliran tunai bertahan sewaktu penularan wabak di samping menjimatkan kos terutamanya melibatkan gaji pekerja dan sewa premis.

Ringkasnya, dapur awan merupakan tempat persediaan makanan yang diwujudkan untuk menyokong aplikasi penghantaran dari rumah. Ia didefinisikan sebagai restoran tanpa dapur, tidak boleh diakses oleh orang awam dan terletak di kawasan perindustrian berbanding pusat komersial perniagaan.

Namun, kos efisien dan keuntungan berganda yang dijana menyebabkan ramai pengusaha makanan mula mengadaptasi konsep berkenaan. Pelaksanaannya selaras dengan pendigitalan perniagaan kerana urusan jual beli dilakukan secara dalam talian menggunakan satu aplikasi yang turut menghubungkan dapur awan lain.

Di Malaysia, terdapat dua buah pengusaha restoran telah memulakan inisiatif dapur awan iaitu Focus Dynamics Group Bhd (Focus) dan MyeonDong Toppoki. Mereka memilih meneroka konsep berkenaan susulan permintaan tinggi daripada pengguna selain mengadaptasi sepenuhnya pendigitalan perniagaan yang diusahakan.

Secara amnya, dapur awan merupakan konsep yang bagus dan harus diteroka oleh pengusaha restoran makanan kerana ia menjimatkan kos dan menggandakan keuntungan dalam waktu singkat.

Bagaimanapun, impak kehadirannya dijangka menyebabkan perniagaan restoran, hartanah dan pasar raya terjejas kerana rutin makan di luar berkurangan, sewa beli premis terjejas dan jualan basah pasar raya juga merosot susulan aktiviti masak-memasak di rumah bukan lagi menjadi keutamaan.

Artikel Berkaitan: