Mike idam emas Sukan SEA 2021

Mike
Mike
A
A
A
MOHD Syarul Azman Mahen Abdullah masih meletakkan impian untuk beraksi pada Sukan SEA, sekali gus menyasarkan pingat emas buat negara walaupun sudah bergelar Mr Asia lima kali serta juara dunia empat kali berturut-turut.

Anak jati Kuala Lumpur berusia 47 tahun yang mesra dengan panggilan Mike itu menaruh harapan tinggi terhadap penganjur temasya sukan dwitahunan terbesar Asia Tenggara edisi 2021 iaitu Vietnam, untuk menyenaraikan acara bina badan.

"Saya harap Vietnam senaraikan acara bina badan terutama sekali kategori saya iaitu Athletics Physique, namun jika acara tersebut tidak dipertandingkan sekurang-kurangnya kalau ada kategori bawah 70kg, saya boleh sertai juga.

"Saya yakin boleh menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia jika diberi peluang sertai Sukan SEA nanti walaupun saya jangka akan menerima cabaran sengit daripada Viertnam, Thailand dan juga Myanmar," katanya hari ini.

Kali terakhir sukan bina badan dipertandingkan di pentas Sukan SEA ialah di Myanmar pada tahun 2013 dengan skuad negara berjaya meraih satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

Mike tidak turut serta pada temasya di Myanmar itu kerana kategorinya tidak tersenarai. Acara bina badan turut tidak dipertandingkan di Kuala Lumpur pada edisi 2017 ekoran Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) tidak mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila tempoh rayuan dibuka sebelum Malaysia memuktamadkan senarai sukan.

Sementara itu, Syarul Azman yang sudah memulakan sesi latihan di gimnasium sebaik sahaja kerajaan membenarkan perniagaan berasaskan sukan beroperasi semula pada 15 Jun lalu, mengakui itu adalah saat yang paling dinantikannya.

Katanya, selepas tiga bulan tidak berlatih dengan peralatan yang sesuai seperti di gimnasium, ototnya mula mengecut dan beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu untuk mengembalikan keanjalan dan kekuatan otot seperti sedia kala.

"Memang saya ada buat latihan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi ia tidak sama seperti latihan yang lebih teratur di gimnasium. Saya akui memang sangat terkesan dengan PKP tempoh hari, otot mula kecut.
Artikel Berkaitan:


"Sekarang sudah buat latihan yang teratur, memang ada rasa sakit sikit sebab sudah lama tidak berlatih betul-betul. Biasanya saya akan berlatih dalam dua jam sehari bagi satu masa tapi buat masa sekarang, kurang dari itu sebab badan rasa sakit," katanya. - Bernama