Menteri Kanan Emeritus Singapura bersara

Goh Chok Tong
Goh Chok Tong
A
A
A

SINGAPURA - Menteri Kanan Emeritus, Goh Chok Tong mengumumkan persaraan beliau daripada arena politik selepas 44 tahun menjadi ahli Parlimen di Singapura.

Chok Tong, 79, menyatakan keputusan beliau menerusi surat dihantar kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong semalam.

Menerusi surat kenyataan balas dikeluarkan pejabat Perdana Menteri hari ini, Hsien Loong bagi pihak seluruh rakyat Singapura turut berterima kasih kepada Chok Tong atas jasa beliau selama ini.

Terdahulu, ahli ekonomi terbabit yang pertama kali dilantik menjadi ahli Parlimen Marine Parade pada 1976 juga menzahirkan rasa berbangga kerana dapat berkhidmat untuk Parti Tindakan Rakyat (PAP), penduduk Marine Parade dan seluruh rakyat Singapura.

Menurutnya, beliau akan terus menyumbang dengan cara lain walaupun tidak lagi bergiat dalam politik.

Dalam perkembangan berkaitan, PAP secara rasmi memperkenalkan empat lagi calon parti itu yang akan bertanding untuk Pilihan Raya Umum pada 10 Julai depan terdiri daripada bekas Ketua Eksekutif Infocomm Media Development Authority (IMDA), Tan Kiat How, bekas Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare, Tan See Leng, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim dan bekas kakitangan awam, Ng Ling Ling.

Sementara itu, pemimpin parti pembangkang, Parti Pekerja, Pritam Singh mengumumkan bekas ketua parti itu, Low Thia Khiang dan bekas ahli Parlimen, Chen Show Mao dan Png Eng Huat tidak akan bertanding dalam pemilihan akan datang.

Pengumuman itu dibuat selepas Parti Pekerja mengesahkan ia akan bertanding untuk merebut 21 kerusi di empat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) di Aljunied, Marine Parade, Sengkang dan East Coast dan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang dan Punggol West. - Agensi

Artikel Berkaitan: