Perancang perkahwinan hilang RM30,000, kini menarik nafas lega

Faris (kanan) menyerahkan tempahan gambar perkahwinan kepada salah seorang pelanggannya.
Faris (kanan) menyerahkan tempahan gambar perkahwinan kepada salah seorang pelanggannya.
A
A
A

MACHANG - Keputusan kerajaan membenarkan majlis pernikahan diadakan bermula 1 Julai ini ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) memberi kelegaan kepada perancang perkahwinan, Faris Zainuldin yang 'tutup kedai' sejak tiga bulan lalu.

Anak muda berusia 26 tahun dari Labok, Machang itu sebelum ini tidak menang tangan menerima tempahan terutama sebagai jurugambar perkahwinan.

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, beliau 'kehilangan' lebih RM30,000 apabila lebih 20 tempahan pakej perkahwinan dibatalkan.

"Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya. Semua persiapan tempahan sudah dilakukan kerana tidak mahu kelam-kabut di saat akhir.

"Bagaimanapun perancangan Allah lebih baik kerana dalam tempoh itu kami menerima cahaya mata pertama.

"Kesedihan terubat dengan kelahiran tersebut menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Isterinya, Siti Rajiah Ismi, 26 tahun yang juga jurumekap perkahwinan turut mengakui terkesan dengan situasi tersebut kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada kerjaya itu.

Kini rezeki 'datang' kembali apabila kerajaan mengumumkan keputusan tersebut dan pelanggan ramai pelanggan mula menghubungi mereka untuk meneruskan perancangan dan juga menetapkan tarikh tempahan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, ada pelanggan mahu melangsungkan majlis tahun ini dan ada tahun depan. Mereka masih mahu menggunakan perkhidmatan kami. Terima kasih kerana memberikan kepercayaan sepenuhnya.

"Hilang RM30,000 tidak dapat membayar nilai kepercayaan dan kesabaran pelanggan kami. Insya-ALLAH kami akan berikan yang terbaik buat semua," katanya.